PAS PERAK KUNJUNGI PEJABAT HARAKAH DAN SINAR HARIAN

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, December 31, 2009




Sepanjang sehari semalam PAS Perak mengunjungi pejabat Harakah di Kuala Lumpur dan pejabat Sinar Harian di Shah Alam, Selangor. Rombongan PAS Perak diketuai oleh YB Hj Nizar Jamaluddin.

Kunjungan kami ke pejabat Harakah disambut oleh YB Datuk Kamaruddin Jaafar dan beberapa pengarang Kanan Harakahdaily dan Harakah Cetak. Taklimat disampaikan oleh mereka.

Dalam kujungan ke pejabat Harakah, pimpinan PAS yang diberi peluang berdialog dan bersoal jawab dengan editorial mengambil kesempatan memberi pandangan dan harapan agar isu-isu Perak sentiasa diberi liputan oleh pihak Harakah, PAS Perak juga mengharapkan wartawan Harakah ditambah memandangkan keluasan negeri Perak yang mempunyai 59 DUN dan 24 Parlimen.

Dalam kunjungan ke Pejabat Sinar Harian di Karangkraf Shah Alam, kehadiran kami sememangnya dinantikan oleh pihak pengurusan dan para wartawan Sinar Harian, mereka sangat gembira apabila Dato' Seri Hj Nizar turut dalam kunjungan tersebut. Kami diberi peluang untuk melawat ke seluruh pejabat Karangkraf yang terkenal dengan lebih 30 penerbitan berbagai jenis majalah. Kami juga dibawa melawat dan diberi taklimat operasi percetakan di kilang percetakan dan penerbitan di situ juga.
Yang menarik sekali ialah sessi dialog. Kesempatan ini sepatutnya peluang kami bagi memberi pandangan dan harapan kepada Sinar Harian terhadap liputan dan pemberitaan isu-isu dan aktiviti PAS di seluruh Perak, namun kesempatan itu telah diambil peluang terlebih dahulu oleh para wartawan untuk banyak bertanya YB Hj Nizar mengenai isu-isu nasional lebih-lebih lagi isu-isu Perak.

Kami terpaksa mencelah dan memohon supaya kesempatan itu diberi peluang kepada kami mengemukakan pandangan dan suara hati PAS Perak terhadap Sinar Harian edisi Perak. Akhirnya peluang diberikan selepas YB Hj Nizar terpaksa meninggalkan majlis kerana terlibat dengan program lain di Shah Alam. Dalam kesempatan tersebut, PAS Perak memberi pandangan supaya Sinar Harian edisi Perak memberi liputan yang sama adil terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS Perak dan juga aktiviti-aktiviti PAS di seluruh kawasan. Sejak akhir-akhir ini, sangat kurang berita-berita PAS di sana sini, berita UMNO BN lebih banyak disiarkan berbanding berita Perak, kami juga mendedahkan adanya usaha jahat dari pejabat MB Perak melalui Setiausaha Akhbar MB yang cuba mencampuri kebebasan akhbar menyiarkan berita-berita PAS dan PR di Perak, ia sangat berbeza dengan edisi negeri-negeri lain seperti Selangor atau Kedah.
PAS Perak juga mengharapkan Sinar Harian memperbanyakkan pemberitaan mengenai kesedaran anak-anak muda supaya menghayati budaya hidup Islam dengan mengajak mereka kembali ke masjid. Sinar Harian juga diperingatkan supaya nilai berita yang diolah mestilah atas roh amanah dan mengandungi nilai yang boleh memberi kesan mendidik pembaca kepada kesedaran politik dan dakwah.

Mengakhiri kunjungan ke Shah Alam, PAS Perak juga sempat membuat lawatan dan kunjugan mengejut ke Percetakan Edaran yang mencetak akhbar Harakah dan Siasah, kebetulannya Percetakan Edaran tidak pula jauh dari situ, kedatangan kami mengejutkan sdr. Azlan Jan selaku Pengarah Urusan syarikat tersebut, namun kami tetap dilayan dengan mesra oleh mereka.



About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!