Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) jauh lebih terbuka berbanding pimpinan UMNO BN.

Dicatat oleh MisbahulMunir Friday, December 4, 2009

Berpolitik memang tidak boleh lari dari melakukan beberapa kesilapan, kadang-kadang tindakan yang dilakukan berdasarkan emosi atau situasi ketika itu. Tiga orang ADUN dari Perak telah melakukan pengkhianatan terhadap amanah rakyat dalam pilihanraya 2008 yang lalu sehingga tumbang kerajaan PR di Perak.

Pengkhianatan ini mengundang kemarahan rakyat yang kadang-kadang tidak boleh dikawal, akibatnya mereka melakukan tindakan-tindakan yang pada pandangan politik mereka wajar dan padan dengan pengkhianatan yang dilakukan. Antara tindakan yang kononnya mencetus kemarahan UMNO dan orang Melayu ialah memijak gambar.

Pada saya memijak gambar sebagai tanda protes kemarahan rakyat di atas pengkhianatan yang dilakukan oleh mereka masih lagi kecil berbanding dengan perbuatan mereka yang mengkhianati amanah rakyat dengan melompat menyertai BN. Sekalipun mereka secara peribadinya tidak bersetuju dengan polisi kerajaan PR atau tidak setuju dengan MB atau apa sahaja sebab yang mereka tidak bersefahaman dengan kerajaan PR, samada mereka meletakan jawatan sebagai ADUN supaya boleh diadakan semula pilihanraya kecil, atau meletakan jawatan sebagai EXCO atau bersabar sehingga pilihanraya akan datang.

Akibat pengkhianatan ini menyebabkan sebuah kerajaan yang dibentuk atas semangat demokrasi dan mendapat kepercayaan majoriti rakyat tumbang. Kerajaan tumbang disebabkan perbuatan khianat ahlinya yang lari dari perjuangan adalah satu jenayah politik yang sangat besar. Sebab itulah dalam Islam sendiri, tentera Islam yang lari dari peperangan yang sedang dihadapi atau mengkhianati pasukannya sendiri dengan menyokong pasukan musuh akan dihukum dengan hukuman yang sangat berat sehinggalah boleh dibunuh.

Namun kesilapan kecil yang mengundang isu yang dibesar-besarkan oleh media segera disedari oleh pimpinan DAP, lantas permohonan maaf segera diajukan. Ini menunjukkan keterbukaan pimpinan DAP yang segera memohon maaf kepada rakyat yang tersinggung dengan perbuatan yang dianggap bertentangan dengan nilai budaya dan adab ketimuran. Permohonan maaf secara terbuka itu disiarkan dalam dada-dada akhbar dengan jaminan tidak akan mengulanginya lagi. Rakyat wajar memuji dengan kenyataan maaf ini.

UMNO BN sejak dahulu sehingga sekarang terlalu banyak menyinggung perasaan rakyat, bahkan satu ketika dahulu dalam isu pindaan perlembagaan, raja-raja Melayu turut disinggung oleh UMNO BN dengan begitu biadab sekali. Pernah kita mendengar pemimpin UMNO BN memohon maaf kepada raja-raja Melayu ?

Dr Mahathir termasuk beberapa pimpinan UMNO pernah menuduh Anwar Ibrahim menumbuk dan mencederakan mukanya sendiri bagi menagih simpati rakyat, ternyata apabila dijalankan siasatan oleh Suruhanjaya Diraja terbukti Ketua Polis Negaralah yang mencederakan Anwar Ibrahim sewaktu dalam tahanan, pernah rakyat Malaysia mendengar permohonan maaf dari Dr. Mahathir dan pimpinan UMNO yang lain ? Sebaliknya Anwar Ibrahim secara terbuka memaafkan Ketua Polis Negara dan juga memaafkan Dr. Mahathir. Anwar Ibrahim juga dimalukan dengan tuduhan yang cukup mengaibkan yang akhirnya merengkok dalam penjara untuk sekian lama, apabila mahkamah memutuskan sebaliknya, juga tidak kedengaran permohonan maaf dari pemimpin UMNO BN.

Datuk Zahid pernah membuat tohmahan dan fitnah jahat ke atas Menteri Besar dan Kerajaan PR Perak yang kononnya akan menutup semua tadika KEMAS seluruh Perak hujung bulan Disember 2008 yang lalu, akibatnya timbul keresahan rakyat. Ternyata dakwaan Zahid adalah palsu, bohong dan berniat jahat sama sekali, tidak ada satu tadika KEMAS pun yang diarahkan tutup oleh Kerajaan PR. Zahid Hamidi juga tidak pernah memohon maaf atas keterlanjurannya membuat kenyataan jahat dan fitnah itu kepada Menteri Besar Hj Nizar.

Dr. Mahathir juga pernah membuat kenyataan yang mengguris Sekolah Agama Rakyat termasuk ibu bapa dan pelajar sekolah agama rakyat yang kononnya melatih pelajar-pelajar menjadi pengganas, pelajar pasti juga dituduh dengan tuduhan yang sama. Kenyataan yang paling mengguris dan menyinggung emosi umat Islam ialah penghinaan terhadap sunnah dan syariat Islam. Umat Islam membantah kenyataan ini, memorundum demi memorundum dihantat ke Pejabat Perdana Menteri. Pernah rakyat Malaysia mendengar permohonan maaf Mahathir ?

Tangkapan-tangkapan ISA ke atas rakyat yang tidak pernah dibuktikan bersalah di mahkamah sehingga anak dan isteri dipisahkan untuk sekian lama, juga rakyat tidak pernah mendengar permohonan maaf dari pemimpin UMNO BN. Dan banyak lagi pembohongan dan tindakan-tindakan biadab UMNO BN terhadap rakyat, pemimpin pembangkang, terhadap Islam sendiri dan sebagainya. Pemimpin UMNO BN tetap angkuh dan sombong sehingga boleh jadi ada yang mati dalam keangkuhan dan kesombongan. Pernyataan maaf bagi mereka cukup berat untuk dilafazkan.

Gambar Lim Guan Eng dibakar, gambar Hj Nizar dipijak, gambar Tok-tok Guru kita dikencing, poster-poster kita dikoyak dan sebagainya. Pemimpin UMNO BN sehingga sekarang masih tidak mahu bertanggung jawab dan memohon maaf bagi pihak parti dan ahlinya di atas perbuatan biadab yang sedemikian.

Inilah UMNO BN, pihak lain dianggap biadab dan tidak bertamaddun tetapi kalau datang dari mereka dianggap wajar dan bersopan. Begitulah UMNO BN dulu, kini dan selamanya tetap sama buruknya.



About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!