Sahabat lama saya Jazmi Zuhri bin Syahar Mursyid telah kembali ke Rahmatullah jam 11 malam tadi. Kematiannya agak mengejutkan kerana sebelum ini beliau diberitakan sihat-sihat sahaja, malahan sempat berriadhah sukan futsal bersama sahabat-sahabatnya sebelum kematiannya.
Beliau juga adalah cucu kepada pengasas Hizbul Muslimin, Al Marhum Ustaz Abu Bakar Bakir. Beliau pernah menjadi EXCO Pemuda PAS Perak ketika Hj Noh Ahmad sebagai Ketua Pemuda dan saya selaku EXCO Pemuda PAS Perak, kemudian beliau berhijrah ke Kuantan sebagai Pensyarah di Politeknik Kuantan, beliau juga bergiat aktif dengan Dewan Pemuda PAS Pahang. Selang beberapa tahun kemudian, beliau bertukar pula ke Politeknik Kulim Kedah.
Pemergiannya sangat dirasai oleh para sahabat seperjuangannya. Saya mengenali rapat beliau melalui kegiatan siswa-siswi tahun akhir IPT, beliau ketika itu pelajar tahun akhir UTM dan saya pelajar tahun akhir UM. Dalam usaha merapatkan hubungan antara siswa siswi dan penerusan perjuangan di luar kampus, kami bersama-sama menubuhkan Ikatan Siswa Siswazah Islam Perak yang menghimpunkan semua anak-anak Perak dari seluruh IPT. Kemudian kami terlibat aktif dalam Jabatan Pelajar Dewan Pemuda PAS Perak dan seterusnya sama-sama menjadi EXCO DPP Perak sehinggalah beliau berhijrah ke Kuantan, Pahang.
Al Marhum meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Jenazahnya telah disolatkan dan dikebumikan di Masjid Gunung Semanggol. Ramai sahabat handai, teman kenalan, rakan-rakan seperjuangan, rakan sekerja, saudara mara dan masyarakat setempat menziarahinya. Beberapa pimpinan PAS negeri dan kawasan juga kelihatan hadir mengerjakan solat jenazah. YB Ramli Tusin dan YB Husin Din, kedua-duanya wakil rakyat PAS dari Semanggol dan Selingsing juga hadir menziarahinya.
Semuga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt. Amin..........Al Fatehah.
Catatan Dhuha april 2019
5 years ago