PAGI ESOK YANG MENDEBARKAN DI PUTRA JAYA

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, February 9, 2010

Rakyat di Perak dan Malaysia, bahkan saya yakin di seluruh dunia sedang menunggu penghakiman siapa Menteri Besar yang sah di Perak pagi ini. Tinggal beberapa jam lagi dari sekarang keputusan yang sedang dinanti-nantikan akan dibuat oleh para hakim Mahkamah Federal. Kes ini adalah kes yang paling popular selain kes Dato' Seri Anwar Ibrahim. Ia diikuti dengan penuh minat oleh ahli-ahli perundangan seluruh dunia.

Rakyat Perak khususnya telah bersabar sekian lama menunggu keputusan hakim. Usaha telah dilakukan oleh YB Hj Nizar dengan sebaik-baiknya melalui proses undang-undang, para peguamnya pula terdiri dari peguam profesional yang terkenal dengan kepakaran masing-masing. Pakatan Rakyat pula menggunakan pendekatan politik bagi menyedarkan rakyat mengenai kemelut politik Perak. Selain itu, solat hajat dan munajat diadakan saban malam sebagai ikhtiar akhir dan pergantungan kita kepada Allah swt.

Penghakiman yang akan dibuat nanti apapun keputusan sudah pasti akan ada implikasinya dari sudut perundangan itu sendiri dan juga politik. Rakyat Perak mahu para hakim berdiri di atas neraca keadilan bukan kepentingan golongan tertentu.

Apapun keputusan nanti, pembubaran DUN adalah jalan terbaik bagi memuaskan hati rakyat Perak. PR tidak gila kuasa, kita hanya menuntuk keadilan. Sekiranya keputusan memihak kepada Hj Nizar, penyokong BN pasti tidak puas hati. Namun, ketidak puashatian itu boleh diselesaikan melalui pilihanraya semula. Hj Nizar tidak perlu menunggu lama untuk mengadap Tuanku supaya memperkenan pembubaran DUN Perak supaya pilihanraya semula dapat diadakan. Siapa pemenangnya semua rakyat akan berpuas hati.

Sekiranya penghakiman menyebelahi Zambry, penyokong PR juga tidak puas hati, penyokong PR bukan kecil jumlahnya, berdasarkan keputusan PR 2008, lebih kurang 54% rakyat Perak mengundi parti-parti PR. Sudah pasti lebih separuh rakyat Perak tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Justeru itu, adakah Zambry bersedia untuk mengadap Tuanku bagi memohon perkenan bubar DUN Perak kerana melalui pembubaran DUN inilah rakyat Perak akan berpuas hati untuk memilih sekali lagi kerajaan yang mereka suka.

Sekarang kebanyakan penyokong PR dan BN sudah mula berdatangan ke Putra Jaya. EXCO BN Perak sejak awal lagi katanya sudah menempah hotel di Putrajaya. Mereka akan berada awal pagi supaya mendapat tempat di mahkamah. Hari Rabu pula jam 3 petang, mereka akan bermesyuarat di hotel KLCC Impiana KL. UMNO BN Perak begitu yakin keputusan akan memihak kepada mereka. Ataupun mereka sudah tahu sebenarnya keputusan memihak kepada mereka. Sebab itulah meraka beramai-ramai berkumpul di Putrajaya bagi meraikan kemenangan.

Pimpinan PR negeri juga telah mula bergerak ke Putrajaya seawal pagi, beberapa pimpinan kanan PR telahpun berada di Kuala Lumpur. Penyokong-penyokong PR tanpa diupah dan diberi duit minyak dan makan sudah pun mula bergerak menuju ke Putrajaya. Saya percaya, ribuan rakyat akan berkumpul di Putrajaya bagi memberi sokongan moral kepada Hj Nizar.

Peluang masih ada lagi dengan berdoa supaya para hakim dilembutkan hati, dibuka fikiran untuk bertindak adil dengan seadil-adilnya dalam membuat keputusan. Kepada pimpinan dan penyokong PR dinasihatkan kalaupun tidak meletakkan dan pengharapan yang tinggi kepada para hakim bagi membuat keputusan yang tepat dan adil, letakkanlah harapan yang tinggi kepada Allah swt, dan kita akan redha dengan apa sahaja ketentuan Allah swt.

Walau bagaimanapun keputusan penghakiman esok bukan penentuan akhir kalah menang, tetapi permulaan perjuangan yang lebih tersusun, progresif dan agresif. Mulakan langkah esok dengan keyakinan,kesabaran, ketabahan dan tawakkal kepada Allah swt. Pasrah bulat-bulat hati kita semua kepada Allah swt. Kalah esok bukan bermakna kita kalah dalam perjuangan, menang esok bukan bermakna kita menang segala-galanya. Kekalahan dijadikan proses muhasabah untuk kemenangan akan datang, kemenangan pula dijadikan proses untuk kemenangan yang lebih besar lagi.


About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!