PAS Mahu Menteri Bertanggungjawab Terhadap Kerugian RM546 juta Pos Malaysia

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, March 30, 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengambil pandangan yang serius terhadap ucapan YB. Wee Choo Keong (Wangsa Maju) di parlimen berhubung pendedahan bekas ahli parlimen yang juga mantan Pengerusi POS Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business bertajuk 'Is whistle-blowing really serious'. Artikel berkenaan turut menyentuh secara langsung isu kehilangan wang rakyat berjumlah RM546 juta dalam pelaburan Pos Malaysia.


Tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia untuk melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah-Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh kepada harga 35 sen seunit dengan nilai keseluruhan hanya RM 14 juta pada 26 Februari 2010.

Sebelum ini Pos Malaysia boleh menjual saham itu pada harga tinggi iaitu RM 14 dengan nilai keseluruhan adalah RM546 juta. Namun percaturan yang dibuat jelas merugikan rakyat.

Pos Malaysia adalah pemegang saham kedua terbesar dalam Transmile Group Bhd selepas raja gula Malaysia-Robert kuok (Kuok Brothers Sdn Bhd). Pada tahun 2004 Pos Malaysia menjual 30 peratus kepentingan dalam Transmile Air Services Sdn Bhd iaitu anak syarikat Transmile Group Bhd sebelum membeli saham Transmile Group Bhd.

Walaubagaimana pun penjualan dan pembelian saham-saham itu ternyata tidak mendatangkan faedah bila mana Transmile Group Bhd selepas itu mengalami kemerosotan dan nilai sahamnya jatuh teruk selepas itu.

Tahun lepas sahaja Pos Malaysia mengumumkan kerugiannya sebanyak RM113.20 juta, dimana RM107.19 juta adalah kerugian yang diterima dalam pelaburan di Transmile Group Bhd.

Rakyat pasti bertanya, kenapa Pos Malaysia tidak mahu melabur dalam Malaysia Airlines Cargo Sdn. Bhd (MASKargo) yang juga salah satu GLC milik negara yang lebih menguntungkan dalam operasi penghantaran kargonya? Adakah pelaburan sebelum ini ada kepentingan untuk membantu menyelamatkan syarikat Transmile Group Bhd yang turut dimiliki bersama dengan Robert Kuok?

PAS hanya melihat kes ini sebenarnya mengulangi insiden kegagalan pengurusan GLC milik negara seperti Proton yang menjual sahamnya dalam MV Agusta dengan harga 1 Euro sahaja. Pendedahan mantan pengerusi Pos Malaysia ini juga harus disiasat dan rakyat mahukan jawapan.

PAS mahu kerajaan mengkaji kegagalan urusniaga niaga ini dan mahu Pengerusi Pos Malaysia, Pengerusi Khazanal Nasional dan Menteri Kewangan bertanggungjawab di atas kerugian ini. Pos Malaysia sebagai GLC milik negara membelanjakan wang rakyat untuk urusniaganya seharusnya memberikan pulangan yang positif bukannya memberikan kerugian yang besar.


Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Loading...

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!