SIDANG BERMULA DENGAN BANTAHAN ADUN PR

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, March 31, 2010


Sidang dimulakan pagi ini dengan panas. Adun Pantai Remis bangun dengan menggunakan Perintah Tetap Dewan Undangan Negeri bagi mempertikaikan perlantikan Ganesan sebagai Speaker DUN Perak. Pantai Remis mengemukakan 6 hujjah bahawa Ganesan bukan Speaker negeri Perak yang sah, Ini adalah hujjah-hujjah YB Pantai Remis :-

1) Pada 7 Mei 2009, ada satu perintah mahkamah yang tidak membenarkan orang awam berada di perkarangan bangunan SUK. Datuk Ganesan bukanlah seorang ahli dewan. beliau tidak boleh berada di dalam dewan kecuali degan adanya surat jemputan dari Speaker. Polis telah menghalang orang awam termasuk 8 orang ahli parlimen yang mempunyai surat jemputan rasmi daripada Speaker. Oleh itu, kehadiran Datuk Ganesan di dalam Dewan Negeri itu merupakan satu kesalahan dari segi undang-undang. Menurut Perintah tetap 83 (I) hanya Tuan Speaker yang boleh memberi kebenaran kepada orang luar untuk menghadiri mesyuarat dewan.

2) Agenda perlucutan dan perlantikan Speaker baru adalah bercanggah dengan Aturan Mesyuarat Dewan Negeri (Perintah-perintah Tetap 13 (I) dan 13 (I)(d). Dalam Persidangan Perasmian Penggal dewan Negeri,perkara yang paling utama ialah Titah Ucapan DYMM Tuanku Sultan. Menurut Aturan Mesyuarat, Titah Ucapan Tuanku harus mendahului semua agenda lain. Jika hendak membuat perubahan dalam aturan ini, satu usul harus dibawa oleh Menteri Besar menurut Perintah-perintah Tetap 13 (I)(n). Perkara ini juga tidak dibuat. Oleh kerana peraturan ini dilanggar,maka perlucutan dan perlantikan Speaker baru adalah tidak sah. Tambahan pula,ini merupakan satu tindakan yang menghina institusi raja.

3) Pada 7 Mei 2009,Speaker V Sivakumar masuk ke dalam dewan lebih kurang jam 9.30 pagi untuk menguruskan dewan. Sebelum sidang dimulakan mengikut aturan mesyuarat, beliau mengumumkan dan mengisytiharkan bahawa sidang tidak akan dimulakan selagi 10 orang yang berada di dalam dewan ini tidak meninggalkan dewan sebagaimana yang diarahkan oleh speaker. Ini bermakna sekiranya sidang belum dimulakan oleh Speaker yang sah, maka apa-apa yang berlaku dalam sidang termasuk perlantikan Speaker adalah tidak sah. Speaker Sivakumar menggunakan kuasanya di bawah Perintah Tetap 43, keputusan Speaker adalah muktamad. Dalam kata lain, perlucutan dan perlantikan Speaker baru telah berlaku dalam tempoh dewan belum lagi bersidang.

4) Proses perlantikan Speaker juga tidak menepati peruntukan Undang-undang. Perlucutan dan perlantikan Speaker dibuat dalam mana-mana dewan.Perkara ini tidak pernah berlaku dalam parlimen mana-mana negara Komanwel. Perlucutan dan perlantikan Speaker baru harus dibuat melalui satu usul yang perlu dibahaskan. Adakah usul dibahaskan di Dewan Negeri Perak?. Adun Jelapang yang sudah letak jawatan, yang menggelar dirinya Timbalan Speaker dengan tiba-tiba cuba mengambil alih kuasa Speaker. Beliau seterusnya menjemput ahli-ahli Dewan Negeri BN untuk berkerumun di satu sudut Dewan Negeri dan membuat mesyuaratnya sendiri tanpa penglibatan ahli-ahli dewan negeri PR. Tindakan ini adalah bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Perakara 36A(3). Peruntukan itu menyebut bahawa selagi Tuan Speaker masih menduduki kerusi Speaker, beliaulah yang akan mempengerusikan dewan dan orang lain tidak boleh mengambil alih tempatnya. Tambahan pula,usul perlucutan speaker harus dibahaskan. Perkara ini juga tidak berlaku. Malah,pemilihan Ganesan juga tidak menepati syarat-syarat Perintah-perintah tetap 4.

5) Usul perlucutan Speaker dan perlantikan Speaker baru telah ditolak oleh Speaker Sivakumar sehari sebelum tarikh persidangan iaitu 6 Mei 2009. Oleh kerana usul tersebut telah ditolak oleh Speaker,perkara ini tidak boleh dibangkitkan lagi oleh Dewan. Speaker menggunakan kuasanya di bawah Perintah Tetap 89 untuk menolak usul yang kemukakan, keputusannya adalah muktamad.

6) Ganesan yang dilantik secara tidak sah juga gagal memenuhi syarat Undang-undang Tubuh, Perkara 36A(5) yang mewajibkan beliau letak jawatan ikhitisasnya sebagai peguam. Mengikut rekod Majlis Peguam, beliau masih memegang jawatannya sebagai peguam selepas tempoh 3 bulan. Beliau kemudian menghantar surat letak jawatan yang membelakangkan tarikh. Ini meruapakan satu tindakan yang amat keji dan usaha untuk menipu keseluruhan sistem pentadbiran dan undang-undang di negara ini. Oleh kerana tindakan beliau juga bercanggah dengan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Perak, maka jawatannya juga telah terlucut dengan sendiri.

Namun hujjah YB Pantai Remis tidak dapat disampaikan kerana tidak dipedulikan oleh Ganesan, sidang tetap diteruskan. Ganesan tidak akan mampu hujjah-hujjah ini, dan kita percaya tidak ada seorang Adun BN yang mampu mematahkan hujjah ini.

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!