Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Dr. Mansor Othman yang juga Adun Penanti berceramah malam tadi bersama saya di Jalan Pemimpin, Kg. Manjoi. Ceramahnya menarik minat orang ramai sehingga tidak ada yang berganjak walaupun hujan renyai-renyai dan sekali-kali lebat. Dalam ceramahnya, beliau banyak menerangkan isu-isu politik Pulau Pinang yang sering diberi gambaran yang salah oleh media arus perdana yang dikuasai oleh UMNO BN.
Menurutnya rakyat Melayu telah lama menderita di Pulau Pinang sejak BN memerintah Pulau Pinang. Pakatan Rakyat yang baru mengambil alih dua tahun berusaha menaikan taraf ekonomi orang Melayu di Pulau Pinang. Tohmahan jahat UMNO BN yang kononnya kerajaan PR Pulau Pinang menganak tirikan orang Melayu dan Islam adalah semata-mata mahu membangkitkan sentimen perkauman. Beliau menafikan semua tohmahan jahat UMNO BN.
Malahan kerajaan PR Pulau Pinang telah memberi peruntukan yang besar kepada Jabatan Agama Islam berbanding sepanjang diperintah oleh BN. Tahun 2009 sahaja kerajaan menaikan peruntukkan dari 12 juta kepada 20.4 juta, manakala tahun 2010 dinaikan sekali lagi kepada 24.4 juta. Sepanjang BN memerintah Pulau Pinang peruntukan untuk Islam hanya sekitar 11-13 juta sahaja. Selaian itu, para penghafaz al quran juga turut diberi pengiktirafan oleh kerajaan PR di mana lebih 130 orang penghafaz Al Quran diberi sijil penghargaan dan sumbangan RM 500.
Turut menyampaikan ucapan malam tadi ialah Sdr. Mustapa Kamil Ayob, Pengerusi Perhubungan PKR Negeri Perak. Dalam ucapan ringkas di pengujung ceramah malam tadi, Mustapa sempat menceritakan bagaimana konvoi perdana pimpinan PR ke Gerik dihalang dan ditahan oleh polis, sedangkan konvoi tersebut hanya bertemu dengan rakyat di setiap bandar bermula dengan Sungai Siput sehinggalah bandar Gerik. Beliau kesal dengan pihak polis yang ternyata menjadi tali barut UMNO BN.