RIBUAN UMAT ISLAM ZIARAHI AL MARHUM TUAN GURU PAK TEH

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, September 30, 2010




Pagi tadi saya dan Ust Abu Bakar Husein(PJ Perak) bersama ribuan umat Islam dari pelusuk negeri Perak dan sebahagiannya dari Kedah membanjiri pondok Pak Teh di Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu. Penghormatan terakhir diberikan oleh umat Islam ke atas Al Marhum Pak Teh (Tuan Guru Hj Abdul Latif Abdul Rahman) yang telah kembali ke Rahmatullah kira-kira jam 12.30 pagi tadi. Kebetulan tarikh kematiannya bersamaan dengan tarikh kelahiranya pada 30.09.1938. Beliau meninggalkan seorang balu dan 11 orang anak dan meninggalkan ratusan murid yang masih berguru dengannya di pondok dan ribuan lagi di merata tempat dan ribuan bekas-bekas muridnya dari seluruh pelusuk negara.

Pemergiannya sangat mengejutkan ribuan umat Islam yang berguru dengannya, kerana malamnya beliau masih lagi mengajar di pondok sehingga hampir pukul 10 malam. Beliau sebenarnya sering keuzuran sejak ditimpa kemalangan tempoh hari, tetapi semangat dan cintanya pada ilmu mengatasi segala keuzuran yang dialaminya, walaupun uzur selagi ada kudrat dan selagi masih boleh bercakap, beliau tetap akan mengajar di merata tempat. Demikian menurut salah seorang anak muridnya yang sempat saya temui.

Pak Teh adalah Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Perak sehingga sekarang. Almarhum juga seorang pengasas dan pendiri Madrasah Addiniah Al Latiffiah (Pondok Pak Teh) yang masih mengekalkan tradisi pengajian secara pondok sejak tahun 1967 lagi. Pondok Pak Tehlah satu-satu pusat pengajian ilmu di Perak yang masih mengekalkan tradsisi membaca Kitab Kuning dan diajar secara tradisional. Sehingga sekarang 400 murid-muridnya masih mengaji secara tetap di pondok Pak Teh.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu pada tahun 1947 hingga 1953 dengan tamat darjah 5. Disebabkan kemiskinan keluarganya tidak mampu menyara pelajaran ke peringkat lebih tinggi lagi walaupun mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke MCKK. Walaubagaimanapun beliau berpeluang meneruskan pengajian agama secara pondok di Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959, Pondok Pasir Tumboh ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967. Beliau berguru dengan beberapa Tuan Guru yang terkenal antaranya Tuan Guru Hj Mohamad Saman Kati, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama tersohor di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar Pasir Tumboh.




Di Pondok Pak Teh, murid-muridnya dari yang seusia paling muda belasan tahun sehinggalah warga tua dan pesara kerajaan yang tinggal di pondok untuk menghabiskan sisa hidup dengan beribadah dan mengaji. Dipondok itulah mereka mengaji secara berkitab dari satu kitab ke satu kitab dan dari satu bab ke satu bab. Pondok yang didirikan oleh Pak Teh semuanya hasil usaha Pak Teh sendiri di samping derma orang ramai, tidak mengharapkan sedikitpun bantuan kerajaan. Untuk menjana pendapatan Pak Teh dan murid-murid menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan. Yuran yang dikenakan pula terlalu murah, tidak sampai RM 50 setahun seorang pelajar untuk duit api dan air.Mengohormati kedudukannya sebagai ulama yang disegani dan dihormati, beliau telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76 pada tahun 2004. Tetapi kezuhudan dan rasa rendah diri, beliau lebih mesra dipanggil Pak Teh atau Tok Guru Pak Teh.

Sewaktu Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah Negeri Perak, YAB Dato' Seri Hj Nizar sebagai Menteri Besar ketika itu telah meluluskan permohonan 45 ekar tanah kepada Pak Teh untuk sebahagianya bagi menjana pendapatan melalui tanaman getah, dan sebahagiannya untuk membesarkan lagi kawasan pondok pengajian.

PAS Perak pula telah memanfaatkan ilmunya kepada pimpinan PAS di semua peringkat dalam program Kuliah Tafaqquh Fiddin yang diadakan sebulan sekali di Surau Ustaz Zahid, Paya Renggam, Padang Renggas. Begitu juga PAS Kawasan Gerik sering menjemput beliau dalam program Ijtima' bulanannya di Markaz PAS Kerunai.

Solat Jenazah telah disempurnakan di surau tempat pengajiannya di Pondok Pak Teh kira-kira jam 11.45 pagi tadi diimami oleh anak saudaranya sendiri. Turut kelihatan Syeikh Mohd Noor Mansor (Pengarah JAIP), Ust. Shuiad Din (Ketua Dewan Ulama PAS Perak), Tuan Guru Hj Salleh dari Pondok Sik, Baling, YB Hj Taib Azamuddin (Ahli Parlimen Baling), Ust. Azezan Desa (Tim.Ketua Dewan Ulama PAS Perak), dan ramai lagi Adun & pimpinan PAS negeri dan kawasan-kawasan yang hadir. Beberapa pimpinan UMNO Bahagian Gerik juga turut kelihatan termasuk beberapa Adun & bekas Ahli Parlimen Gerik.

Dato'Mufti Perak, Ustaz Zamri Hashim (Timbalan Mufti Perak) dan beberapa pegawai dari Jaip dan Pejabat Mufti Perak juga kelihatan hadir.

Solat Jenazah kali ke 2 turut diadakan di Masjid Jamek Kg. Kuar Luar kira-kira jam 12.30 tengahari bagi memberi peluang ribuan lagi umat Islam mengerjakan solat Jenazah. Jenazah Al Marhum disambut tangan ke tangan dari tempat kediamannya sehinggalah sampai ke Masjid Jamek kira-kira 500 meter dari kediamannya.

Semuga rohnya ditempatkan bersama para anbiya, sahabat dan solehin. Amin. Al Fatehah.

AL FATEHAH , ADUN GALAS MENINGGAL DUNIA

Dicatat oleh MisbahulMunir Monday, September 27, 2010

ADUN Galas, Che Hashim Sulaima, 48, yang menghidap barah usus meninggal dunia di Pusat Perubatan Kampung Baru di Kuala Lumpur pada 4.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menerusi twitternya sebentar tadi.

Pada 26 Julai lalu, beliau dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu, tetapi kemudiannya dibenarkan pulang.

Che Hashim dimasukkan Hospital Pakar Perdana itu, selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kimoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

JAMUAN E'IDUL FITRI PAKATAN RAKYAT MERIAH

Dicatat oleh MisbahulMunir












Kehadiran orang ramai dalam Majlis Jamuan Eidul Fitri Pakatan Rakyat sangat di luar jangkaan, makanan hampir sahaja tidak mencukupi, namun semua yang hadir merasa puas kerana matlamat kehadiran mereka bukan untuk makan semata-mata tetapi bertemu wajah dengan pimpinan serta mendengar ucapan dan amanat pimpinan.

Orang ramai mula membanjiri perkarangan Pejabat PAS di Medan Istana seawal jam 7.00 ptg terutama orang-orang bukan Islam, manakala umat Islam menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu di masjid yang berhampiran atau di rumah masing-masing. Pukul 8.00 malam sebaik saya sampai, semua parking telah penuh.

Kehadiran orang ramai begitu mengejutkan, penganjur menjangkakan sekitar 3000 lebih sahaja, ini disebabkan pada hari Ahad sejak pagi lagi sehinggalah ke petang beberapa kawasan, ngo dan orang perseorangan mengadakan hari terbuka masing-masing. Malam itu sahaja, dua tiga Ngo mengadakan hari terbuka di kawasan Ipoh, tetapi Alhamdulillah, orang ramai masih mahu juga hadir walaupun juadah yang disajikan lebih kurang sama sahaja sebagaimana di tempat-tempat lain. Yang menariknya kehadiran orang bukan Islam dari masyarakat Cina dan India hampir sama ramai dengan masyarakat Melayu, dan mereka menunggu sehingga majlis bersurai kira-kira jam 10.30 malam untuk mendengar ucapan-ucapan pemimpin yang meraka sayangi.

Antara pimpinan Pakatan Rakyat yang hadir meraikan para tetamu malam tadi ialah YB Dato' Seri Hj Nizar, Ustaz Abu Bakar Husein, YB Dato' Ngeh Kho Ham, YB Zainuddin Yusuf, YB Dr. Lee Boon Chye, YB Khalil Idham Lim, YB Nga Khor Ming, YB Dr. Mujahid Yusuf, YB Chan Ming Kai dan ramai lagi. Kebanyakankan adun Pakatan Rakyat hadir malam tadi. Sdr. Mustapa Kamil Ayob,Pengerusi PKR Negeri hadir di penghujung program kerana menghadapi masalah kesesakan jalan raya di Kuala Kumpur.

YB Chang Ming Kai memakai pakaian Baju Melayu lengkap bersamping dan bersongkok, begitu juga YB Dr. Lee Boon Chye dan sdr Kris dari DAP. Hampir sahaja ramai yang tidak mengenali mereka. Meraka kelihatan segak dan cukup bergaya dengan pakaian Melayu. Sehingga YB Ngeh tersasul dalam ucapannya dengan menyebut memakai baju Melayu dan "lampin", orang ramai bergelak sakan mendengar ketersasulannya itu, namun Ngeh bijak orangnya lantas terus menjawab " saya sengaja menyebut begitu, sebab nak tahu saudara-saudara ambil perhatian atau tidak terhadap ucapan saya".

Program dimulakan dengan ucapan aluan saya selaku pengarah program, diikuti dengan ucapan-ucapan silih berganti oleh Ustaz Abu Bakar Husein, Dato' Ngeh, Dr. Lee Boon Chye, Nga Khor Ming, Chan Ming Kai dan Dato' Seri Hj Nizar. Orang ramai turut dihiburkan melalui persembahan nasyid oleh Q Har.

Majlis malam tadi juga turut meraikan 100 orang golongan fakir miskin di sekitar bandararaya Ipoh. Mereka menerima sumbangan dari PAS Perak.

Saya sifatkan program jamuan malam tadi dari sudut persiapan dan penganjurannya sederhana namun sambutannya sangat meriah. Bajet yang dikeluarkan cukup sederhana, tidak sampaipun puluhan ribu. Tidak berlaku pembaziran. Semua petugas menjalankan kerja secara sukarela dan ikhlas. Ramai petugas yang tidak sempat makan kerana mengutamakan para tetamu. Syabas dan tahniah petugas sekelian.

Selesai sahaja majlis, malam itu juga khemah dibuka, kerja-kerja pembersihan terus dijalankan dan pagi tadi perkarangan Medan Istana kembali seperti biasa seolah-olah tidak ada program besar malam tadi.

Saya selaku pengarah program mengucapkan ribuan terima kaseh kepada pihak keselamatan, DBI, semua pimpinan Pakatan Rakyat negeri & kawasan, urusetia, PAS zon bandarraya, para penyedia makanan, petugas Unit Amal dan UKP dan semua yang terlibat bagi menjayakan acara tahunan ini.

Insya Allah tahun depan akan lebih meriah lagi.

SEMUA DIJEMPUT HADIR MALAM INI.

Dicatat oleh MisbahulMunir Sunday, September 26, 2010

SEMUA PENYOKONG PAKATAN RAKYAT DAN WARGA PERAK DIJEMPUT HADIR MALAM INI DALAM MAJLIS JAMUAN EIDUL FITRI PAKATAN RAKYAT PERAK DI PERKARANGAN PEJABAT PAS NEGERI, MEDAN ISTANA.

PROGRAM BERMULA JAM 8.00 MALAM. BEBAGAI JUADAH AKAN DIHIDANGKAN MALAM INI, LEMANG, RENDANG, NASI HIMPIT, MEE GORENG, LAKSA, BIHUN SOP, CENDOL, SATAY DAN SEBAGAINYA.

HALWA TELINGA JUGA DIPERDENGARKAN BAGI MENGHIBURKAN PARA PENGUNJUNG OLEH KUMPULAN NASYID Q HAR.

UCAPAN & AMANAT HARI RAYA TURUT AKAN DISAMPAIKAN OLEH YB DATO' SERI HJ NIZAR, USTAZ ABU BAKAR HUSEIN, YB DATO' NGEH KHO HAM DAN SDR MUSTAPA KAMIL AYOB.

JUALAN AMAL TURUT AKAN DIADAKAN MALAM INI.

DATANG JANGAN TAK DATANG


YANG MENGUNDANG
SELURUH PIMPINAN PAKATAN RAKYAT NEGERI

KENYATAAN MAHATHIR MEMBUKTIKAN PEMIMPIN UMNO TAKUT HILANG KUASA

Dicatat oleh MisbahulMunir Saturday, September 25, 2010

IPOH 24 September, Pesuruhjaya PAS Perak Ustaz Abu Bakar Hussain hari ini menegaskan bahawa pandangan yang dikeluarkan oleh Tun Mahathir Mohamad hanyalah kenyataan politik lama dengan tujuan untuk mengugut pengundi Melayu agar tidak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Umum ke 13 akan datang.

Beliau berpandangan sebenarnya Tun Mahathir Mohamad dan pemimpin Umno kini sudah dapat menjangkakan bahawa mereka akan kehilangan kuasa pada pilihanraya umum ke-13 nanti.

Menurut beliau jika umno menjadi pembangkang maka tidak ada siapa baik pemimpinnya atau pengikutnya yang sanggup menyumbangkan tenaga dan kewangan untuk pergerakan parti umno itu pada masa akan datang, serta berkemungkinan besar parti umno ini akan menjadi tidak relevan dan ditolak oleh seluruh rakyat akan kewujudannya.

Beliau juga menjelaskan bahawa terdapat menteri-menteri umno yang sudah membeli tanah dan rumah di luar negara untuk menyenangkan mereka tinggal disana jika umno tidak dapat memerintah Malaysia pada masa akan datang.Sebenarnya pemimpin umno kini sentiasa berada dalam ketakutan kerana satu persatu kes-kes mereka semua akan dibongkar dan dibawa kemuka pengadilan jika Pakatan Rakyat dapat mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat.

Memetik kata-kata beliau ” Kita tahu selama ni pemimpin-pemimpin umno memperolehi duit dari pengusaha-pengusaha kilang dan syarikat-syarikat kroni mereka untuk menjana kewangan parti mereka. Jika umno jadi pembangkang selepas ini maka tiada siapa yang sanggup beri duit pada umno ”

Beliau menyimpulkan kenyataan yang dikeluarkan Tun Mahathir itu adalah kenyataan yang berbaur ugutan kerana Tun Mahathir sudah menjangkakan Umno berkemungkinan besar untuk kalah pada Pilihanraya umum ke 13 nanti.

JEMPUTAN KE MAJIS JAMUAN EIDUL FITRI PAKATAN RAKYAT

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, September 22, 2010

Sempena meraikan Syawal 1431 Hijrah, PAS Perak dengan kerjasama Pakatan Rakyat PERAK, dengan berbesar hatinya menjemput serta mengalu-alukan kehadiran YB/Dato/Datin/Tuan/Puan/Encik/Cik ke Majlis Jamuan Malam Aidilfitri Bersama Rakyat yang akan diadakan pada hari Ahad, 26 September 2010 bersamaan dengan 17 Syawal 1431 Hijrah. Jamuan ini akan diadakan di Perkarangan Pejabat Perhubungan PAS Perak, Medan Istana Bandar Ipoh Raya . Jamuan akan diadakan mulai pukul 8.00 malam sehingga jam 11.00 malam.

Semoga keberkatan bulan Syawal ini akan menambahkan kekuatan kepada kita untuk meneruskan perjuangan bagi memikul amanah rakyat dalam membawa perubahan ke arah keharmornian serta keadilan buat Negeri Perak dan Malaysia yang tercinta.

Sekian,

Misbahul Munir Masduki

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri Perak merangkap Pengarah Program Jamuan Malam Aidilfitri Bersama Rakyat

CORETAN RAMADHAN & SYAWAL

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, September 21, 2010



Selamat bertemu kembali dalam blog saya ini kepada semua pengunjung-pengunjung. Saya menyepi seketika kerana kurang berkesempatan membuka internet. Dua hari sebelum Syawal, saya bersama keluarga beraya di kampung tercinta di Sungai Tiang Darat, hampir seminggu berada di kampung. Kampung Sungai Tiang Darat bukanlah kawasan pendalalam sangat, tetapi line untuk kemudahan internet tidak berapa clear. Tidak terlambat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya e'idul fitri, taqaballlahu minna wa minkum, wa siyamana wasiyamakum, minal a'edin wal faizin, kullu am wa antum bikhair.

Solat E'dul Fitri dikerjakan di Masjid Istiqamah, masjid yang usianya hampir 100 tahun, seni binaan masih asli walaupun sentiasa diubah suai untuk keselesaan ahli jamaah. Masjid ini dibina atas semangat gotong royong, menerima hanya sumbangan orang ramai. Tidak menerima sebarang sumbangan dari pihak kerajaan. Masjid ini masih mengekalkan beberapa amalam tradisi seperti jamuan makan selepas selesai khutbah raya, jamuan makan dibawa sendiri oleh penduduk kampung. Inilah saat yang paling seronok, kerana inilah peluang bertemu dengan rakan-rakan sepermainan dulu ketika diusia kanak-kanak. Kami makan dalam daun pisang yang dibawa dalam ambeng oleh penduduk kampung.

Hari pertama, kedua dan ketiga inilah peluang kita kunjung mengunjung dari rumah ke rumah, dari rumah yang paling dekat hinggalah yang agak jauh. Kesempatan ziarah raya, saya sempat diminta untuk mentahnik dan mencukur bayi seorang sahabat yang baru seminggu dikurniakan cahaya mata.
Sepanjang Ramadahan Alhamdulillah PAS Kawasan Bagan Datoh berjaya menganjurkan program ehya' Ramadhan. Antara program yang berjaya dianjurkan majlis berbuka puasa, tazkirah dan solat sunat tarawikh di beberapa buah masjid, surau dan markaz di sekitar Bagan Datoh. Alhamdulillah semua program tersebut dapat dihadiri walaupun berulang alek selanh sehari dari Ipoh ke Bagan Datoh. Selain itu, program tersebut diserikan dengan majlis tazkirah dan penyampaian hamper kepada warga Bagan Datoh yang memerlukan. Alhamdulilllah tahun ini lebih 300 orang warga miskin diberi sumbangan hamper berupa keperluan dapor. Semua sumbangan adalah hasil derma orang ramai yang disalurkan melalui PAS Kawasan. kepada semua penderma diucapkan ribuan terima kasih.
Antara kampung yang sempat saya kunjungi untuk berbuka puasa, bertarawikh, tazkirah dan penyampaian sumbangan hamper ialah Masjid Matang Kunda, Masjid Rungkup Kecil, Masjid Simpang 3, Surau Yasiniah Sg. Batang, Surau Pt. Che Maja Baroh, Surau Tebuk Imam Baroh, Surau Sungai Betul, Surau Pt. 1 Sg. Pergam, Masjid Sg. Hj Muhammad, Surau Tebuk Che Agus, Surau Sg. Nipah Baroh, Surau Rumah Awam Bg. Datoh, Dewan Sg. Lancang Rungkup, Kg Kunci Ayer dan Markaz PAS Sg. Tiang Darat. Mana-mana warga miskin yang uzur, sumbangan hamper disampaikan dari rumah ke rumah.

Usaha murni ini ada juga segelintir pengomen dalam blog ini yang mempertikaikan, kononnya sedikit sumbangan yang dihulurkan tidak mampu mengubah nasib rakyat yang miskin, kononnya apa yang BN buat selama itulah yang mampu mengubah nasib rakyat. Kita akui sumbangan hamper tidak mampu mengubah status hidup rakyat, tetapi sekurang-kurangnya sumbangan tersebut meringankan beban rakyat dan juga sebagai tanda simpati, kasih sayang dan tanggungjawab sesama insan.

UMNO dan Datuk Zahid turut memberi sumbangan hamper yang boleh jadi nilainya lebih banyak berbanding yang disumbangkan oleh PAS juga tidak mampu mengubah nasib, bukan itu sahaja malahan banyak program yang dianjurkan bagi membantu rakyat miskin di Bagan Datoh, namun kehidupan mereka masih juga tidak berubah dengan menjadi kaya serta merta. Kalau tidak masakan orang yang sama sahaja setiap tahun menerima sumbangan hamper. Dan PAS tidak pula mempertikaikan usaha yang dibuat oleh UMNO dan Datuk Zahid, usaha yang baik bagi membantu rakyat miskin kita alu-alukan, tetapi jangan mempertikaikan usaha dan amal baik yang orang lain buat.

Yang boleh mengubah nasib adalah kaum itu sendiri sebagaimana maksud firman Allah swt. dalam surah Ar-Ra’du ayat 11:

Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.

Kemeriahan Syawal diserikan dengan tiga orang anak angkat dari Sarawak yang tidak berhari raya di kampung halaman mereka di Sarawak. Mereka adalah antara pelatih-pelatih sukarelawan dakwah yang sedang mengikuti kursus selama setahun anjuran Yayasan Amal Malaysia. Saya kagum dengan kekentalan jiwa mereka yang tidak terusik dengan kesedihan apabila mendengar laungan takbir raya, pada hal itulah kali pertama mereka beraya di perantauan. Sepanjang berhariraya bersama kami, mereka merasai kelainan budaya yang menjadi pengalaman yang tidak mudah dilupakan.

Tahun ini PAS Bagan Datoh berjaya menganjurkan Jamuan Raya bersama anak rantau Bagan Datoh. Program yang julung-julung kali diadakan berjaya menghimpunkan hampir 100 anak rantau Bagan Datoh yang pulang bercuti di kampung. Mereka begitu gembira kerana diraikan oleh PAS Kawasan Bagan Datoh. Dalam ucapan mengalu-alukan kehadiran anak rantau saya sempat melancarkan kempen mengundi balek kampung kepada anak-anak rantau yang berada di luar kawasan, mereka menyambut baik kempen ini, dan turut akan mengembelingkan tenaga bagi berkempen di luar bagi memastikan anak rantau Bagan Datoh mendaftar sebagai pemilih di kampung halaman masing-masing.

Saya juga sempat melancarkan kutipan Tabung Pembinaan Banguan Dewan Serbaguna PAS Kawasan Bagan Datoh yang sedang dalam pembinaan. Dewan tersebut bakal menjadi pusat aktiviti PAS Kawasan Bagan Datoh yang lebih selesa dan besar. Sumbangan-sumbangan dari anak-anak rantau sangat dialu-alukan. Sekiranya dana mencukupi Insya Allah awal tahun depan dewan tersebut boleh digunakan.

Majlis jamuan hari raya PAS Kawasan Bagan Datoh kali ini berbeza dengan jamuan yang lepas, kali ini majlis diadakan di empat zon, Zon Rungkup telahpun diadakan beberapa malam yang lepas, Jumaat ini di zon Selekoh bertempat di Kg. Sungai Batang, akan datang di zon Bagan Datoh dan Zon Sungai Sumun serta Hutan Melintang. Program ini diadakan diperingkat zon bagi membolehkan orang-orang kampung menghadirinya.

Saya juga berkesempatan memenuhi jemputan berbuka puasa dan menyampaikan tazkirah di tempat-tempat lain. Istimewanya di Kg Raja, Kelang, kerana apa ? Beberapa rakan bukan Islam dari kaum Cina & India turut menghadiri majlis berbuka puasa dan juga mendengar tazkirah yang disampaikan.Turut hadir YB Shuhaimi ADUN Sri Muda, YB Dr Xavier ADUN Sri Andalas, Dewan Himpunan Penyokong PAS serta YB Dr Siti Mariah Mahmud Ahli Parlimen Kota Raja.


Hampir seminggu berada di kampung berhari raya, kini kami berada pula di Ipoh untuk berhari raya di sini pula, Alhamdulillah rumah pertama yang kami ziarahi rumah Pesuruhjaya PAS Perak, dan rumah Ketua Dewan Ulama PAS Perak. Anak angkat bertambah dari 3 kepada 6 orang, penambahan bilangan anak angkat menceriakan lagi suasana raya di Ipoh. Kesemua anak-anak angkat turut saya ajak menziarahi PJ dan Ketua Dewan Ulama PAS Perak, kesempatan ziarah diisi dengan sedikit tazkirah dan amanat oleh pimpinan, Alhamdulillah ia cukup mengesankan sekali.
Sepanjang minggu ini dan minggu depan, kesempatan masih dalam suasana syawal, saya gunakan peluang ini untuk program ziarah menziarahi sahabat handai. Budaya di Ipoh tidak sebagaimana di kampung. Tiga tahun tinggal di Ipoh, saya tidak mengecapi nikmat syawal melalui budaya ziarah menziarahi antara rumah ke rumah. Tuan rumah yang ingin mengundang sahabat handai ke rumah kena anjur rumah terbuka, tuan rumah akan mengundang rakan taulan, yang tidak terima undangan sudah pasti tidak akan datang.

Berbeza budaya di kampung, tanpa buat majlis rumah terbuka, setiap hari ada sahaja jiran tetanga, saudara mara, sahabat handai, rakan-rakan sekampung kunjung mengunjung. Suasana inilah yang memeriahkan syawal. Selama berada di Ipoh, tidak ada sahabat handai yang datang ziarah. Mereka tunggu untuk diajak datang ke rumah. Kalau kita mahu ziarah orang lain sekalipun kena beritahu nak datang ziarah. Hujung minggu pula memenuhi undangan ke jamuan raya kawasan-kawasan dan rumah terbuka pimpinan PAS. Suasana masih lagi meriah. Alhamdulillah rumah terbuka PAS Kawasan Bukit Gantang dan rumah terbuka Al Fadhil Ust Ahmad Awang sempat kami kunjungi. Program seumpama ini berjaya menghimpunkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.

PAS sokong Tengku Abdullah, rakyat wajib tolak parti perkauman dan bersatu dengan Islam

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, September 8, 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menyokong dan menjunjung kasih keatas
titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang
mahukan umat Islam menolak cara hidup berpuak-puak dan terus
mengimarahkan Masjid dengan majlis Ilmu.

PAS dapat mengambarkan betapa besarnya harapan pihak istana untuk
rakyat dan parti-parti politik di negara ini bersatu atas nama Islam
dan bukannya berpuak-puak mengikut bangsa dan kaum masing-masing.
Politik perkauman dan menyertai parti politik perkauman adalah satu
kerugian buat umat Islam. Kesatuan umat Islam dan sikap berani
bersaing menjadi teras kekuatan umat zaman Rasulullah seperti yang
baginda titahkan.

Hanya Islam yang mampu memberikan keharmonian dan keamanan serta
menyatukan rakyat sedangkan politik mengikut bangsa dan kaum tertentu
hanya memecahkan lagi masyarakat. Orang Melayu tidak seharusnya duduk
dalam parti Melayu sahaja, orang Cina juga tidak boleh duduk parti
Cina sahaja, Orang India pun begitu.

PAS kini menjadi platform terbaik untuk rakyat bersatu padu kerana
disini umat Islam tak kira Melayu, Cina dan India dapat bersama dengan
harmoninya. Malah dengan keterbukaan PAS yang mewujudkan Dewan
Himpunan Penyokong PAS yang majoriti ahlinya adalah kalangan bukan
Islam telah menjadikan PAS sebagai pilihan terbaik menyatukan rakyat
bukan sahaja yang berbeza bangsa, malah yang berbeza agama juga
bersatu dalam PAS.

PAS juga menyanjungi keprihatinan Tengku Mahkota Pahang yang menyebut
dengan jelas bahawa Masjid seharusnya diimarahkan dengan aktiviti
keagamaan, dijadikan pusat perpaduan, menimba ilmu dan perhimpunan
masyarakat setempat.

Inilah idea yang dibawa dan diperjuangkan PAS selama ini. Di Selangor
sebagai contoh, semasa Umno memerintah, Masjid dan Surau dikunci dan
dirobohkan hanya kerana mereka menjemput para penceramah yang
menyokong PAS untuk berikan kuliah. Penceramah PAS amat profesional,
mereka tahu membezakan kuliah agama dan ceramah politik. Hanya kerana
berbeza politik kariah masjid dihalang memasuki masjid mereka.
Jawatankuasanya ditukar jika bukan ahli Umno.

Tetapi selepas PAS-Pakatan memerintah Masjid Surau yang dikunci dibuka
semula. Para penceramah tanpa mengira parti politik dijemput untuk
berkongsi ilmu. Masjid Surau menjadi pusat aktiviti belia. Ada yang
dijadikan pusat tuisyen juga. Malah kariah Masjid Surau semakin ramai
kalangan orang muda kerana begitu banyak program diadakan termasuk
sukan dan juga gotong-royong. Begitulah yang berlaku hingga ke hari
ini.

PAS berharap rakyat Pahang khususnya dan diseluruh Malaysia, dapat
melihat hasrat kepimpinan mereka yang mahukan Islam diletakan ditempat
yang sewajarnya dan menukar Kerajaan yang mempertahakan perjuangan
berasaskan kaum dan puak mereka sahaja. Dengan menolak Umno-BN
sekaligus umat Islam khususnya kalangan kaum Melayu dapat bersatu atas
nama Islam.

PAS mendoakan kesejahteraan Yang DiPertuan Agong, Sultan Pahang,
Tengku Mahkota, seluruh kerabat DiRaja dan rakyat jelata. Semoga
negara ini akan terus makmur dibawah rahmat Allah swt.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat


Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat bahawa tindakan Ketua Polis
Negara
Tan Sri Musa Hassan mendedahkan kepada rakyat bahawa
terdapatnya pihak ketiga yang memberikan arahan kepada anggota Polis
DiRaja Malaysia hingga menganggu struktur 'command and control' dalam
organisasinya sebagai tindakan yang wajar.

PAS menyifatkannya sebagai tindakan yang belum terlewat, walaupun
beliau kini telah dibersarakan melalui kenyataan akhbar Menteri Dalam
Negeri. Memang agak mengejutkan kerana persaraannya disampaikan
melalui media bukannya melalui arahan dalaman. Ini tidak sepatutnya
berlaku ke atas seorang yang amat setia kepada Kerajaan, kerana
pengumuman persaraan beliau dengan terus menamakan penganti itu ibarat
tindakan "habis madu sepah dibuang".

Nama beliau begitu popular dalam PDRM selepas berjaya mengheret Datuk
Mokhtar Hashim, mantan Menteri Belia dan Sukan Malaysia yang telah
membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Mohamad Taha Talib
pada 1982 kerana berebut jawatan dalam pemilihan UMNO Bahagian Tampin.

Selepas itu beliau juga turut terlibat dalam kes tuduhan liwat ke atas
Datuk seri Anwar Ibrahim pada 1998 dan 2009. Beliau juga berjaya
melepasi tuduhan rasuah ke atasnya bernilai RM 3juta yang didakwa
diterima kerana membebaskan 3 orang anggota sindiket judi haram.
Peguam Negara dan SPRM menutup kes ini pada 2007 dengan penuh
kontraversi.

PAS melihat beliau telah melalui kemuncaknya perkhidmatan dengan
begitu akrab membantu Barisan Nasional atas nama Kerajaan. Namun,
cetusan rasa tidak puashati yang disebutkannya baru-baru ini
menceritakan hakikat tekanan yang dialami sepanjang menjadi anggota
Polis dibawah pentadbiran BN.

Tangan dan kaki beliau terikat dalam banyak kes termasuklah kes
pembunuhan Altantuya yang melibatkan anggotanya dan beberapa orang
politik.

Pengakuanya kepada media bahawa terdapatnya camputangan politik ketika
beliau jalankan tugas menyokong penuh kenyataan mantan Pengarah Badan
Pencegah Rasuah
, Datuk Shafee Yahaya yang turut menyatakan terdapatnya
campurtangan dan penglibatan orang politik dalam Kerajaan yang
menganggu penjawat awam melaksanakan tugas hingga mendorong
penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Rakyat akan terus membuka mata dan telinga bagi mengetahui kebenaran
ini. Kenyataan Musa dan Shafee adalah kebenaran yang sukar disangkal
kerana merekalah antara orang-orang yang banyak dipergunakan oleh
pihak-pihak berkepentingan khususnya melalui Kementerian Dalam Negeri
dan Jabatan Perdana Menteri yang begitu kebal dari undang-undang.

Pegawai-pegawai tinggi Kerajaan ini hanya mampu membuka mulut bila
tarikh persaraan mereka diumumkan. Tetapi itu sudah cukup memberitahu
kita apa yang berlaku dibalik pemerintahan BN di Putrajaya. Rakyat
kini jelas bahawa banyak perkara dan salahguna kuasa yang berlaku
dalam pentadbiran negara dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan ini
terdesak untuk bersubahat melindungi mereka demi untuk memastikan
pegawai ini boleh pencen dengan selamat tanpa tekanan.

PAS berharap agar pegawai-pegawai kerajaan tidak membiarkan diri
mereka terus dijadikan alat untuk kepentingan pemimpin BN. Jika tidak,
mereka akan mengakhiri perkhidmatan mereka dengan perasaan bersalah
kepada rakyat dan negara ini sama seperti yang Musa dan Shafee lalui.

Ust. Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

Zainudin Maidin Dendam Terhadap PAS

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, September 7, 2010

Parti Islam Se-Malaysia PAS kesal terhadap sikap Tan Sri Zainuddin Maidin yang masih berpendirian bahawa ada pemimpin PAS yang berjumpa dengan Tunku Abdul Rahman supaya menyuruh Tunku merampas harta orang Cina sewaktu peristiwa 13 mei 1969. Hari ini beliau dengan megah tidak akan tarik balik dakwaan ini. Sebenarnya pendirian yang diambil oleh Zainudin Maidin bukan merupakan perkara yang pelik, kerana beliau ini orang yang istiqamah menentang perjuangan yang di bawa oleh PAS daripada muda sampai tua.

PAS mencabar beliau mendedahkan siapakah nama pemimpin PAS yang berjumpa dengan Tunku. Adalah satu perkara yang mustahil perkara yang besar seperti begini, Tunku tidak ambil serius dan tidak memaklumkan kepada beliau siapa pemimpin tersebut. PAS ingin mengingatkan kepada Zainudin Maidin, PAS adalah parti yang mempunyai dasar dan organisasi yang teratur. Sebarang keputusan dasar yang dibuat oleh mana-mana individu, daripada Mursyidul Am hinggalah ahli biasa tidak dianggap mewakili pandangan parti melainkan setelah diluluskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat, Syura dan muktamar. Contohnya ketika PAS hendak menyertai Kerajaan Campuran dengan Perikatan, kemudian Barisan Nasional. Perlu diingatkan PAS daripada peringkat awal penubuhan mengambil pendekatan muwajahah silmiah (cara aman) bukan secara tidak tidak demokratik. PAS tetap sabar walaupun provokasi yang pernah dilakukan oleh Umno melalui gerakan pemuda tahan lasak pada tahun 60an. Jadi adakah logik Pas hendak bertindak ganas supaya merampas harta orang china. . Kalaulah PAS hendak rampas harta orang Cina, maka PAS tidak perlu minta bantuan Tunku Abdul Rahman. PAS boleh buat sendiri terhadap Cina di Kelantan yang minoriti. Hakikat yang berlaku ialah tidak ada orang Cina yang dibunuh dan sebuah kedai pun yang dibakar oleh orang PAS di Kelantan. Sebaliknya huru-hara hanya berlaku di luar Kelantan . Kalau ini yang berlaku ini adalah tindakan yang luar daripada landasan perjuangan PAS, iaitu melalui gelanggang demokrasi walaupun dalam keadaan padang yang tidak rata dan tiang gol yang sentiasa diubah

Apakah Zainudin Maidin yang lama terlibat dengan dunia kewartawanan boleh menjadikan hujah yang tidak tahu hujung pangkal siapakah pemimpin PAS yang bertemu dengan Tunku, maka terus ia membuat rumusan, bahawa PAS juga parti pelampau. Sedangkan apa yang diungkit adalah satu perkara yang besar yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina terhadap perjuangan PAS. Realiti pada hari ini api perkauman telah ditiup dengan kencang di dalam negara ini hasil daripada provokasi Umno. Beberapa siri demontrasi oleh pemimpin Umno kononnya kerajaan Pulau Pinang menindas orang Melayu, demo pijak kepala lembu di Shah Alam, isu penggunaan nama Allah oleh orang bukan Islam.

Pemimpin Umno sakit hati kepada PAS kerana semua isu yang dibangkit oleh Umno tidak mendapat sambutan dari kalangan rakyat dan pemimpin PAS. Malahan pemimpin PAS menjawab dengan matang dan tenang, berdasarkan nas syarak, ini yang ,menyebabkan Zainudin Maidin sakit hati. Tiba-tiba Zainudin Maidin mengeluarkan cerita yang tidak tahu hujung pangkal kebenarannya, kerana Tunku Abdul Rahman sudah meninggal. Tragedi 13 Mei 1969 kita minta Allah jauhkan daripada berulang kembali di negara ini. Apa tujuan beliau sebut tidak lain dan tidak bukan untuk menimbulkan keresahan di kalangan orang Cina di negara ini terhadap PAS. Oleh itu beberapa laporan polis sudah dibuat meminta Zainudin Maidin disiasat atas kenyataan beliau, kerana PAS secara rasmi tidak bertanggungjawab terhadap apa-apa tindakan yang luar daripada keluhuran undang-undang negara.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat


Analisis IsuOleh Ustaz Saiful Bahri

Ketika dunia Islam lain bergerak pantas menggamit umat manusia kepada Islam tetapi pemerintah UMNO masih lagi bagai katak didalam gelas kaca. Mereka melihat perkembangan drastik orang memeluk Islam khususnya di Eropah dan Amerika hatta menjangkau 200% tetapi di Malaysia, Islam di ISAkan oleh UMNO.


Terkongkong dalam selaput yang dicipta oleh UMNO sendiri. Sudahlah perkembangan Islam lambat bahkan ramai pula orang melayu yang murtad. Ini disebabkan sikap dan cara berpolitik UMNO yang tidak menguntungkan Islam tetapi hanya sekadar keuntungan sementara yang ingin diraih oleh UMNO-BN. Sentiasa mengapi-apikan perbalahan agama dan kaum demi meraih politik murahan.
Ketika Majlis fatwa telah mengeluarkan hukum berkait keharusan bukan Islam mengunjungi masjid sebagaimana yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.

Dan memang itu pun yang dilakukan oleh umat Islam diluar Malaysia yang merupakan amalan yang dilakukan sendiri oleh Rasulullah Saw dan para sahabat. Masjid merupakan pusat pemerintahan, pusat pentadbiran, pusat kehakiman, tempat ibadah, tempat pertemuan duta-duta asing yang ingin menemui Rasulullah Saw maupun khalifah selepas baginda.

Kita lihat gambar-gambar dibawah bagaimana menggambarkan perkembangan dakwah yang pesat terhadap mereka yang bukan Islam yang menjadikan masjid sebagai pusat maklumat dan penyebaran Islam dinegara selain Negara kita. Bagi UMNO semua ini adalah pencemaran terhadap kesucian masjid dan penghinaan terhadap Islam.

1. Masjid Lakemba di Sydney yang merupakan antara tertua dan terbesar. Mereka mengundang bukan Islam serta memberi penjelasan berkait kekeliruan tentang Islam. Mereka sentiasa mengadakan hari terbuka yang member banyak manfaat dakwah. Sheikh Yahya Safi, sebagai imam yang merupakan kelahiran lubnan menyebut ianya memberi ruang untuk berdialog serta menolak salah-faham terhadap Islam. Bahkan ramai yang terbuka hati dan mendapat hidayah dan memeluk agama Islam




2. Lebih 2,000 masjid di Jerman telah mengadakan Hari khusus pada hari Rabu dan terbuka kepada umum termasuk bukan Islam untuk mengunjungi masjid, melihat ibadah umat Islam dan bertanyakan tentang Islam.


3. 3 May 2010, pihak Masjid Makkah di United Kingdom telah mengadakan pameran Islam secara tahunan dan dikunjungi oleh rombongan setiausaha kerajaan Alan Johnson. Mereka sempat melawat dan megadakan dialog dan perbincangan didalam masjid tersebut.

4. Sempena Ramadhan The Golden Mosque Lower Sheriff Street, Rochdale telah mengadakan hari terbuka dengan mengundang orang ramai termasuk bukan Islam untuk berbuka puasa dan mendapat taklimat tentang islam didalam masjid yang dikendalikan oleh imam selaku pengerusi masjid iaitu Tahir Mahmood.


5. Pusat Islam London .Terletak di Regent Park yang sibuk dengan orang-ramai khususnya hari jumaat yang menampung 10,000 jamaah. Para pelawat akan diberi penerangan oleh Pegawai Perhubungan Awam pusat Islam tersebut iaitu Omar Saddique. Beliau memberi penjelasan tentang Islam dan setiap persoalan yang diutarakan oleh para pelawat didalam masjid tersebut.


6. Di Durban, Masjid dan selaku Pusat Islam yang pernah diasas dan dikelolakan oleh Syeikh Ahmad Deedat iaitu IPCI, seorang pendakwah tersohor telah menyediakan hari lawatan khusus kepada non muslim sebagai Mosque Tours dan memberi penjelasan tentang ibadah dan penerangan tentang islam dan perbandingan agama. Khususnya amalan para nabi yang ditinggalkan oleh Yahudi dan nasrani tetapi diamalkan oleh umat Islam seperti membuat kasut sebelum masuk ke tempat suci (masjid), berwudhu dengan membersih diri, kiblat, cara iabadah dengan sujud dan ruku’ yang merupakan amalan para nabi semenjak bani Israel lagi. Ramai yang tertarik dan akhirnya memeluk Islam disitu.


7. Lihat bagaimana Obama sendiri yang menziarahi masjid turut membuka kasut beliau untuk masuk ke ruang solat. Bahkan Pope sebagai ketua agama Kristian Khatolik juga masuk ke masjid dalam lawatannya ke negara Arab. Kalau berlaku di Malaysia nescaya berlakulah kiamat.


8. Masjid al-Azhar sendiri membenarkan pelawat bukan Islam memasuki ruang dalaman masjid termasuklah Putera Charles dan Lady Diana dengan ditemani oleh Syeikh Azhar ketika itu iaitu Syeikh Tantawi. Kalau kat Malaysia mungkin Majlis Agama menghambat mereka kot?.

Bahkan banyak masjid-masjid lain diseluruh dunia menganjurkannya. Termasuk di Malaysia sendiri kecuali apabila timbulnya isu YB DAP dari parlimen Serdang Teo Nie Ching dengan kejadian masuk ke Surau Huda di Kajang. Beliau telah mendapat keizinan drp pihak pengurusan surau utk memasuki ruang solat bagi menyampaikan bantuan kpd surau tersebut dan bukannya member tazkirah tetapi sekadar ucapan sempena pemberian bantuan kepada surau tersebut. Beliau juga turut berbuka puasa bersamaah muslimat disitu. Ia telah dipolitikkan oleh UMNO-BN sebagai mencemari tempat suci Islam.

Apakah hukumnya yang sebenar?


Hukum bukan Islam masuk MASJIDIL HARAM

Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki masjidil haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat al-Quran:-


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلاَ يَقْرَبُواْ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَـذَا
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu kotor, maka janganlah mereka mendekati Masjidil haram sesudah tahun ini.. (At-Taubat : 28)


Berdasarkan dua ayat ini, majoriti ulama dari kalangan mazhab maliki dan Syafie melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, namun demikian dibenarkan bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.


Satu lagi adalah :-


أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ لاَ تَقْرَبُواْ الصَّلاَةَ وَأَنتُمْ سُكَارَى حَتَّىَ تَعْلَمُواْ مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىَ تَغْتَسِلُواْ
Ertinya : "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu salat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri mesjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekedar berlalu saja." ( 4:43 )


Imam Abu Hanifah pula menyatakan non-muslim dibenarkan untuk memasuki masjidil haram sekadar lalu, namun tidak dibenarkan untuknya duduk dan menetap di sana (sebagaimana sebahagian umat Islam); ini kerana beliau berpandangan, ‘kotor' yang disebut di dalam ayat itu hanyalah membawa maksud kekotoran syirik yang melibatkan hati bukannya kekotoran fizikal. Lebih dari itu, Ibn Hajar menyatakan mazhab Hanafi membenarkan bukan Islam memasuki masjid tanpa syarat.
Imam Ahmad Hanbal pula menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki masjidil haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan-tujuan yang munasabah seperti pembinaan dan maintainance. Beliau mengambil dalil iaitu penduduk Taif dibenarkan oleh nabi s.a.w untuk menetap dan tinggal di masjid sebelum mereka memeluk Islam.

Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi s.a.w untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, nabi menyebut kepada sahabat
"Biarkan mereka (untuk menyelesaikan sembahyang mereka)"
Selain itu, Imam Al-Bukhari juga ada membawakan sebuah hadis yang menyebut bagaimana seorang bukan Islam bernama Thamamah ibn Athal, diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu),


بعث رسول اللَّهِ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ من بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ له ثُمَامَةُ بن أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ من سَوَارِي الْمَسْجِدِ
Ertinya : Rasulullah s.a.w menghantar seorang berkuda di arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah ( sedang mengintip) yang bernama Thumamah Bin Uthal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim )

Selepas tiga hari, akhirnya setelah dia melihat bagaimana umat islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, dia akhirnya memeluk Islam kerana tertawan melihat keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

HUKUM MASUK MASJID SELAIN MASJIDIL HARAM

Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap MELARANG bukan Islam memasuki masjid manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan bukan Islam untuk memasuki masjid-masjid lain dengan syarat-syarat tertentu. Beliau juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah tersebut.
Imam Nawawi menghuraikan :
Melihat kepada hadis ini, harus hukumnya mengikat tawanan dan menahannya serta harus juga seorang yang bukan Islam untuk memasuki masjid. Mazhab Syafie : menyatakan keharusannya dengan syarat terdapat keizinan dari umat Islam sama ada kafir itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya. (Syarah Sohih Muslim, 12/87)

Imam Al-Mawardi As-Syafie membawakan pula teks kata-kata Imam Syafie dalam hal ini iaitu :-

ولا بأس أن يبيت المشرك في كل مسجد إلا المسجد الحرام
Ertinya : Tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram. ( Al-Hawi Al-Kabir, 2/268)

Permasalahannya hanya satu kerana si pelaku bukan UMNO. Kalau UMNO dia menjadi halal semata. Ketika orang lain dilarang berceramah didalam masjid tetapi untuk UMNO halal. Ketika orang lain haram mendedahkan aurat dalam masjid tetapi jika UMNO jadi halal. UMNO nampaknya hanya layak menjadi terompah untuk ke jamban masjid sahaja. Inilah sebenarnya punca pencemaran terhadap Islam di Malaysia sebagai wakil penjajah selepas kemerdekaan. Munasabahlah mereka mengambil APCO Zionis sebagai penasihat hanya untuk mengkucar-kacirkan umat Islam di Malaysia. Penaja 1 Malaysia ini sebenarnya pengamal teroris di Malaysia.


Ustaz Saiful Bahri

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!