Kita pun buka aurat di masjid!

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, September 2, 2010


Oleh - Abd Jalil Ali

Terus terang saya tidak kenal, malah tidak pernah mendengar pun nama Teo Nie Ching sebelum ini. Rupa-rupanya dia seorang wanita bertubuh langsing, boleh tahan juga wajahnya, dan bergelar Yang Berhormat. Beliau ialah Ahli Parlimen DAP kawasan Serdang.

Sehari dua ini namanya naik, dan sekelip mata beliau dikenali bukan sahaja di Parlimen yang diwakili, malah di seluruh negara. Beliau disebut bukan sahaja oleh rakyat biasa di kawasannya, tetapi juga oleh para pemimpin kerajaan dan pembangkang, termasuk Perdana Menteri.

Kalau tidak kerana YB berkenaan masuk surau Al-Husna, Kajang, mungkin tidak ramai orang mengenalinya. Niatnya ke surau itu tentu sekali baik, iaitu untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat. Biasalah wakil rakyat menyampaikan sumbangan menjelang hari raya.

Kesilapan beliau ialah masuk ke dalam surau, dengan tidak menutup aurat. Beliau berkebaya, nampak sopan, tetapi mendedahkan rambutnya. Agaknya wakil rakyat Cina itu tidak tahu bahawa rambut juga dikira aurat, dan perlu ditutup. Untuk memburukkan lagi keadaan, Teo dibenarkan pula berdiri di ruang solat utama, dan memberi ucapan ringkas.

Itulah kontroversi terbaru yang sempat menghangatkan suasana puasa dan hari raya kita. Kata sesetengah ulama orang kafir tidak boleh masuk tempat solat Islam, lebih-lebih lagi di ruang utama, dan tidak menutup aurat pula. Ada yang menganggap ini sebagai mencemar kesucian rumah ibadat orang Islam.

Ada pula ulama kata tidak salah orang kafir masuk ke masjid atau surau. Mereka kata zaman Rasulullah dulu orang kafir Quraisy bukan sahaja dibenarkan masuk masjid, malah diberi makan dan boleh tidur di situ. Kalau mereka tidak menutup aurat pun tidak salah sebab yang diwajibkan menutup aurat adalah orang Islam.

Biarlah bijak pandai agama menentukan mana yang salah dan mana yang betul. Kalau itu sesungguhnya satu kesalahan, maka patut sekalilah YB berkenaan dikenakan tindakan yang wajar mengikut undang-undang yang ada. Dan ini sepatutnya dijadikan panduan untuk YB-YB bukan Islam yang lain. Sepatah kata pepatah, masuk kandang kambing, mengembek.

Saya lebih tertarik untuk bercakap mengenai rambut wakil rakyat itu yang didedahkan ketika masuk surau. Sebab ada NGO Islam yang nampaknya marah betul Teo membuka kepalanya ketika berdiri di ruang solat utama. Mereka kata ini satu penghinaan, dan kesucian telah dicemari.

Apakah betul begitu? Kalau betul rasanya ini bukan kali pertama terjadi, dan pasti Teo bukan orang pertama mencemar kesucian tempat ibadat kita. Sebenarnya dalam hal tutup kepala, masjid dan surau kita sudah sekian lama dicemari dan tidak dihormati. Dan, mencemari bukan orang kafir tetapi oleh orang Islam sendiri.

Saya kerap menyaksikan orang kita kahwin di masjid, termasuk di beberapa masjid terkenal di Kuala Lumpur. Di sinilah saya melihat di hadapan mata, orang kita tidak sedikit pun menghormati tatatertib di rumah Allah itu. Mereka yang datang, terutama wanita, ternyata tidak prihatin – mungkin juga mereka tidak mengetahui hukum agama, sama seperti orang bukan Islam.

Bukan salah menjadikan masjid atau surau tempat bernikah. Malah itu mungkin lebih baik sebab mengikat kasih sayang dua insan di rumah Allah. Apa yang salah ialah apabila yang hadir pada majlis tersebut tidak menutup aurat seperti yang dituntut oleh agama. Ramai yang tidak menutup rambut, betul-betul sama seperti Teo masuk surau Al-Huda.

Walaupun di kebanyakan masjid ada peringatan bertulis supaya mereka yang masuk menutup aurat, pada majlis pernikahan amaran itu seperti tidak dipedulikan, dan para pegawai masjid pun tidak berbuat apa-apa apabila ada yang masuk ke dewan solat utama dalam keadaan mendedahkan.

Satu hujung minggu beberapa hari sebelum puasa saya menghadiri upacara akad nikah di sebuah masjid besar di Kuala Lumpur. Mempelai adalah dari keluarga berada dan bergelar. Ada sekitar 50 orang hadir pada majlis tersebut, sebahagian besarnya wanita. Ramai mendedahkan rambut, tidak bertudung walau sedikit pun. Malah ada seorang dua macam megah menayangkan rambut yang telah diwarnakan. Mungkin besar belanjanya mendandan rambut di salun terkenal, sebab itu rasa membazir pula sekiranya yang diset mahal itu tidak ditontonkan kepada umum.

Ramai juga hadir hanya menutup sebahagian kepala. Berselendang, tetapi rambut bahagian hadapan dibiarkan terjurai di atas dahi. Apakah pada hemat mereka bahagian hadapan rambut yang berambu-rambu itu tidak termasuk aurat? Atau, mereka sengaja memperlekeh masjid?

Ada juga hadir bukan sahaja mendedahkan rambut, malah berpakaian mendedahkan lengan, dan apabila duduk bersimpuh kelihatan jelas betis yang putih melepak. Memang saya berdosa masuk masjid dengan mata liar begitu! Tetapi kalau tidak didedahkan, mungkin tidak ada orang akan tengok.

Saya sama sekali tidak menyokong YB wanita DAP masuk ke surau dengan rambut terbuka. Maka, tidak bersetuju jugalah saya pada wanita Islam sendiri yang masuk ke masjid berkeadaan seperti wakil rakyat kafir itu.

Abd. Jalil Ali
Kolumnis Sinar Harian

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!