Rayuan Kepada Pengundi Merlimau Dan Kerdau

Dicatat oleh MisbahulMunir Sunday, March 6, 2011

Urusan memilih pemimpin adalah satu urusan dan amanah yang sangat penting dalam Islam. Pemimpin yang kita pilih ini pula adalah melaksanakan amanah Allah SWT, dan membawa mandat rakyat yang memilih mereka.

Kita pula akan melakukan kesilapan yang besar kesannya jika kita tersalah memilih pemimpin, terutamanya dari parti yang tidak amanah dan gagal melaksanakan amanah dengan jujur serta telus.

Kesan memilih pemimpin ini bukan setakat perkiraan jalanraya baru berturap, bukan juga habuan ringgit sementara yang kita dapat semasa pilihanraya semata-mata, tetapi kesannya akan turut dirasai oleh anak cucu kita di waktu yang akan datang. Apatah lagi sekiranya perkiraan dosa pahala kita masukkan, tentunya urusan memilih wakil rakyat adalah satu agenda yang sangat penting.

Bukankah anak cucu kita yang akan meneruskan kehidupan, dengan cabaran hidup dalam zaman ekonomi serba melambung, harga barang terus meningkat, dengan kita saban hari mendengar kegagalan pengurusan ekonomi oleh kerajaan BN di Malaysia ini, yang terus didedahkan oleh Laporan Audit Negara sendiri.

Inilah lambang tenatnya pemerintahan negara pada hari ini. Dalam masa yang sama, Perdana Menteri memberikan gambaran salah dan hodoh kepada kumpulan 'Muslim Brotherhood' dan tokoh ulama dunia, Dr Yusuf Al Qardhawi kerana menyokong usaha rakyat Mesir menjatuhkan Presiden Mesir Hosni Mubarak yang mengumpul kekayaan negara sebanyak RM210 bilion, dalam keadaan rakyat Mesir hidup dalam kemiskinan yang parah.

Ini seolah-olah menggambarkan kerajaan BN pimpinan Najib sememangnya menyokong dan cenderung kepada kumpulan yang merompak kekayaan negara dan membiarkan rakyat dalam kesusahan.

Walaupun pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau ini tidak akan mengubah kerajaan negeri dan negara, tetapi ia boleh menjadi medan rakyat menegur pemerintah. Rakyat di Merlimau dan Kerdau, mesti memberi peringatan kepada kerajaan yang tidak pentingkan rakyat. Berikan undi saudara-saudari sekalian kepada PAS yang mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kali ini.

Kemenangan PAS di kedua DUN ini, mampu memberi tekanan kepada pemerintah agar segera berubah menjaga kepentingan rakyat atau diubah dalam pilihanraya umum akan datang.

Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia Pas dan rakan-rakan Pakatan Rakyat, merayu kepada seluruh pengundi Melayu, Cina dan India di Merlimau dan Kerdau supaya memberi undi kepada PAS dalam pilihanraya kecil ini.

Terimakasih di atas sokongan tuan puan sekalian.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!