Apabila wakil rakyat wanita bukan Islam masuk masjid, UMNO dan media jaja setiap hari hari kononnya ia mencemar kesucian Islam dan mencabar maruah umat Islam. Cuba lihat gambar-gambar ini, aktiviti diadakan dalam masjid, yang hadir sebahagiannya wanita UMNO, lihat macam mana mereka tutup aurat, pakai selendang nak tutup aurat konon tetapi jambulnya tetap kelihatan. Sempurnakah menutup aurat seumpama tu, tanyalah mufti Perak, apa jawabannya. Yang jelas tak tutup pun, bersalaman dengan orang bukan muhrim dalam masjid pula tu.



Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (kiri) menyampaikan sumbangan kepada orang-ramai di Masjid Kampung Kepayang Fair Park, bersalaman dengan bukan muhrim dalam masjid, ada juga yang tidak tutup aurat pulak tu, yang ini tidak tercemar kesucian Islam.


Majlis ini adalah anjuran UMNO di Masjid al-Taqwa Tanjung Gading Barat, Ledang.
Datin Paduka Prof Dr Jamelah Ariffin isteri MB Johor turut serta memberi sumbangan. Tengok tudungnya, sempurna ke tutut aurat tu?


Tengok tu, bagi hamper kat masjid, yang dibelakang tu tak tutup aurat pun.
Program ini anjuran Puteri UMNO bertempat di Masjid al-Falah Karamunting, Sandakan.


Bekas Menteri UMNO yang istiqamah tak pernah tutup aurat, bagi sumbangan di Masjid Felda Tunggal dalam anjuran bersama UMNO Bahagian Pengerang, Unit Seranta Felda Negeri Johor, FELDA Wilayah Johor Bahru, JKKK FELDA Tunggal dan Badan Kebajikan Surau FELDA Tunggal di masjid Felda Tunggal.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berucap dalam majlis anjuran Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi, Taman Melati, Wangsa Maju. Dua orang pemimpin wanita, tengok tudungnya, itu bukan tutup aurat namanya, tutup kepala je, rambut bukan aurat ke?


Ini sidang media yang diadakan di masjid anjuran UMNO Bahagian Bagan telah diadakan di Masjid At Taqwa, Mak Mandin. Ada wartawan bukan Islam di situ, boleh pulak masuk masjid.


Ini satu hal pulak, tutup aurat tu ok le, bersalam pulak tu dengan bukan muhrim, di masjid pulak tu. Aurat dijaganya, bersentuhan kulit dengan muhrim tak pula dijaganya. Ini dalam program
di Sarawak, Program “Jom Berambeh” YB Datuk Hjh Rohani Hj Abdul Karim, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia dan diadakan untuk mendekatkan dan memudahkan penduduk di kawasan Parlimen Batang Lupar.

Cukuplah dulu, Akan menyusul gambar-gambar lain nanti.

Sumber
http://pouchnote.blogspot.com/2010/08/politik-dalam-masjid-umno-ingkari.html

Bukan Muslim, Masjid Dan Mainan Politik

Dicatat oleh MisbahulMunir


Saya amat bimbang apabila isu-isu agama dipolitikkan. Islam cuba ditafsirkan menurut kepentingan politik masing-masing. Hukum-hakam syarak menjadi mangsa. Permainan politik sanggup menggadaikan segalanya. Amat berbeza antara penilaian berteraskan politik kepartian dengan penilaian yang berasaskan metodologi ilmu dalam Islam.

Politik kepartian sering menilai isu atau sesuatu berasaskan kepentingan (political interest), persepsi dan prejudis. Sementara ilmu Islam yang sahih menilai sesuatu berdasarkan dalil dan fakta. Kebenaran dalam Islam itu buta warna parti atau kumpulan. Kebenaran itu kebenaran, tanpa mengira dari mana dan kepada siapa ia berpihak. Firman Allah: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah, ayat 8).

Orang politik datang dan pergi. Parti politik juga demikian. Namun, Islam kekal abadi. Ia menjadi cahaya yang menyinari kehidupan manusia. Orang politik boleh musnah, parti juga boleh hancur. Manusia tidak semestinya bergantung kepada seseorang tokoh atau sesebuah parti. Namun, manusia sentiasa perlukan hidayah Islam yang membimbing ke jalan yang benar. Islam mesti kekal bersih, membimbing semua manusia. Malanglah jika orang politik sanggup mempertaruhkan Islam untuk survival mereka!

Tambah Keliru

Bukan muslim bertambah keliru dengan hukam-hakam berkaitan mereka yang dikeluarkan kebelakangan ini. Fatwa-fatwa ‘ala-Taliban’ yang menggambarkan sikap keras Islam terhadap pihak lain dicadang dan didendangkan oleh sesetengah media. ‘Juru-juru fatwa’ yang boleh ditekan suisnya oleh pihak politik bersedia menunggu. Islam dikaburkan oleh permainan yang seperti ini. Dalam Islam, hubungan dengan bukan muslim bermula dengan terang dahulu, setelah diperjelaskan dan masih ada permusuhan barulah tindakan ‘peperangan’ boleh diambil jika ada keperluan. Ini dalam masyarakat kita ‘perang dahulu’ tanpa sebarang penerangan awal yang jelas.

Saya telah ulas dalam banyak media tentang isu doa kebaikan kepada bukan muslim. Kini timbul pula isu bukan muslim masuk masjid. Ya, isu ini bermula dengan orang politik. Namun janganlah dalam keghairahan hendak menghentam musuh politik, fakta Islam pula yang dimangsakan. Jika kita enggan menerima mereka masuk, itu persoalan lain. Tetapi menggambarkan kepada mereka bahawa Islam melarang mereka sama sekali memasuki masjid, itu boleh menimbulkan salah faham. Islam ala melayu atau Islam yang ada dalam sejarahnya yang gemilang? Rasulullah menerima perwakilan dalam masjid, bagaimana tiba-tiba hari ini masjid diharamkan untuk mereka?!

Masuk Masjid

Ya, para fuqaha (ahli fekah) berbeza pendapat tentang hukum bukan muslim masuk ke dalam masjid. Namun, majoriti fuqaha termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i berpendapat bahawa bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid jika ada keperluan untuk itu. Pendapat ini disokong oleh beberapa dalil yang kuat. Di samping, ia juga membantu memahamkan masyarakat bukan Islam mengenai Islam. Dalam negara yang berbilang agama seperti negara kita, pandangan ini bukan sahaja kuat dari segi dalilnya, ia juga memberikan kebaikan kepada dakwah Islam itu sendiri.

Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa:

Nabi s.a.w telah menghantar pasukan (skuad) tentera berkuda dan menawan Thumamah bin Uthal yang merupakan kepimpinan Bani Hanifah dari Yamamah. Beliau dibawa ke Madinah dan diikat di tiang masjid Nabi s.a.w. Apabila Nabi s.a.w datang ke masjid dan melihatnya, baginda bertanya: “Apa yang ada engkau dapati wahai Thumamah?”

Jawabnya: “Bersamaku kebaikan, wahai Muhammad! Jika engkau membunuhku, engkau membunuh orang yang punyai darah (berhak dibunuh atau mungkin beliau meminta simpati), jika engkau memberi kurnia, engkau memberikan kurnia kepada orang yang berterima kasih. Jika engkau mahu harta, engkau boleh minta seberapa banyak yang engkau mahu”.

Lalu Nabi s.a.w meninggalkannya. Keesokannya Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati Wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan, jika engkau memberi kurnia, engkau memberi kurnia kepada orang yang berterima kasih”.

Nabi meninggalkannya. Keesokannya lagi Nabi s.a.w bertanya lagi: “Apa yang engkau dapati wahai Thumamah?”.

Jawabnya: “Seperti yang aku katakan kepadamu”.

Lalu Nabi s.a.w memerintahkan: “Bebaskan Thumamah”.

Lalu Thumamah pun keluar pergi ke mata air berdekatan masjid, beliau mandi, kemudian masuk semula ke masjid dan mengucapkan: “Aku bersaksi bahawa tiada ilah (yang diabdikan diri) melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah”.

Beliau juga berkata: “Wahai Muhammad! Demi Allah, duhulu tiada atas muka bumi yang lebih aku benci daripada engkau, sekarang berubah engkau telah menjadi orang yang paling aku sayangi. Demi Allah, dahulu tiada agama yang lebih aku benci dari agamamu, sekarang berubah agamamu menjadi agama yang paling aku sayangi. Demi Allah, tiada dahulu negara yang lebih aku benci dari negaramu, sekarang berubah negaramu menjadi negara yang paling aku sayangi..”.

Hadis di atas menunjukkan bagaimana Thumamah bin Uthal seorang tawanan perang yang menentang kerajaan Nabi s.a.w dibawa masuk ke dalam masjid. Antara tujuannya, agar dia dapat melihat kehebatan ibadah dalam Islam. Sekalipun dia musuh dan tawanan perang, Nabi s.a.w menggunakan pendekatan yang menarik jiwanya sehingga dia akhirnya menganut Islam. Ini dengan cara menempatkannya dalam masjid dan baginda bertanya soalan selama tiga hari lalu memaafkannya. Kesan berada di masjid dan kemaafan Nabi s.a.w, akhirnya kepimpinan musuh tersebut menganut Islam. Hadis ini menjadi bukti bahawa orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Inilah pegangan kebanyakan ulama termasuk dalam Mazhab al-Syafi’i. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):

“Hadis ini menunjukkan harus membawa orang kafir masuk ke dalam masjid. Mazhab Syafi’i mengharuskannya dengan izin muslim. Ini merangkumi kafir ahli kitab atau selain mereka”. (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, 12/435, Beirut: Dar al-Khair).

Majlis Fatwa Tetap Arab Saudi mengeluarkan hukum tentang bukan muslim masuk ke masjid seperti berikut:

“Pendapat yang tepat bukan muslim boleh masuk ke dalam masjid untuk sesuatu kemaslahatan syariah atau sesuatu keperluan tertentu seperti mendengar sesuatu yang membawa masuk ke dalam Islam, atau keperluannya untuk minum air yang berada dalam masjid atau selainnya. Ini kerana Nabi s.a.w mengikat Thumamah bin Uthal al-Hanafi dalam masjid sebelum dia menganut Islam, baginda juga menempatkan perwakilan Thaqif dan perwakilan Kristian Najran di masjid sebelum mereka menganut Islam. Ini kerana ada banyak faedah mereka memasuki masjid, antaranya; mendengar ucapan dan nasihat Nabi s.a.w, melihat orang bersolat dan membaca al-Quran dan berbagai faedah besar yang lain bagi sesiapa yang melazimi masjid”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah 6/276. Riyadh: Idarah al-Buhuth)

Luaskan Fungsi Masjid

Kita sepatutnya meluaskan fungsi masjid agar dapat menjadi ‘centre for Islamic Information’ yang mesra pelanggan. Masjid sepatutnya berfungsi menyampaikan Islam kepada setiap pihak; muslim dan bukan muslim. Di negara seperti Malaysia yang berbilang agama dan budaya, kaum muslimin perlulah aktif dan intraktif dalam menyampaikan mesej Islam. Jika masjid dijadikan zon larangan bagi orang bukan muslim sehingga tidak dapat mendekatinya, bilakah Islam akan dapat difahami oleh mereka. Sudahlah dalam negara ini banyak fatwa ala-taliban yang cuba menggambarkan seakan tiada rahmah antara muslim dan non-muslim, ditambah lagi dengan ditutup ruang untuk mereka mendengar ajaran Islam. Masjid digambarkan musuh mereka dan mereka dilarang menghampirinya. Sementara dalam masa yang sama ada pihak bukan Islam yang menjemput muslim dengan hormat ke tempat ibadah mereka serta menghulurkan berbagai bantuan. Akhirnya, kita terus bermusuhan tanpa mencari titik dakwah, atau sekurang-kurang noktah yang mengurangkan sangkaan salah terhadap agama hidayah ini. Ke manakah hala tuju Islam yang hendak kita bawa dalam negara ini?!


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Kini telah dua dekad Kelantan ditadbir menurut acuan Membangun Bersama Islam (MBI). Peneraju dan eksekutif yang terserlah di sebaliknya adalah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar. Sumber pengetahuan yang mencorakkan MBI adalah ajaran Islam. Segala pokok dan cabang ajaran Islam dijadikan rujukan utama di dalam membina teras pentadbiran dan pembangunan negeri. Teras yang dimaksudkan ialah Ubudiah, Masuliah dan Itqan atau singkatannya "Teras UMI" merupakan pakaian rasmi semasa menguruskan hal ehwal pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Komitmen berpakaian rasmi ini ("Teras UMI"), maka tidak keterlaluan jika dikatakan Kelantan kini sebagai sebuah negeri mencapai piawai keamanan (security standards) terulung di Malaysia. Selayaknya Kelantan sebagai Model Keamanan Malayia dan selayaknya juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz dinobatkan sebagai tokoh keamanan Malaysia atas kejayaan menghadapi cabaran dalam mengurus negeri sejak dua dekad (20 tahun) yang lalu.

Model keamanan

Natijah ajaran Islam adalah mencapai kehidupan yang selamat di dunia dan sejahtera di akhirat. Dari makna Islam ia sudah memberi nilai selamat dan sejahtera apabila Islam itu disebut sebagai "berserah diri" atau "menyerah diri kepada Allah." Hakikatnya Allah Tuhan Yang Esa adalah pengawal, pentadbir dan penguasa mutlak di alam semesta. Logiknya, apabila Kerajaan Negeri Kelantan komited mengurus tadbir negeri berpandukan ajaran Islam, berkat dan kekuasaan Allah sedia mengawasinya. Justeru firman Allah (al-’Araf 7:96) bermaksud “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Hakikatnya, nilai ajaran Islam yang diberkati Allah, sudah tentu hasilnya adalah keamanan yang diturun khusus untuk pemerintah dan rakyatnya. Negeri Kelantan telah merasmikan (“Teras UMI”) adalah penghubung mencapai buah keberkatan. Kekuatan bagi pengisian kepada teras itu adalah nilai kepatuhan kepada seruan amal maaruf dan nahi mungkar serta keyakinan sepenuhnya di atas integriti pentadbiran yang beragama. Punca kepada keberkatan yang menghasil keamanan adalah komitmen sebaik sahaja memulakan urusan kuasa, iaitu memindahkan akaun Kerajaan Negeri dari bank riba ke bank Islamik dan pemberian pinjaman tanpa riba untuk kakitangan awam. Diikuti dengan amalan kepimpinan berteraskan akhlak Islam, memajukan pendidikan Islam di sekolah Yayasan Islam dan pelaksanaan Dakwah Halaqat membawa misi dakwah kepada rakyat melalui masjid dan madrasah. Disusuli pula dengan pendekatan syariah di dalam mengawal akhlak rakyat melalui peraturan menutup aurat, penamatan lesen premis judi, tidak membenarkan hiburan yang melampau, mengawal penjualan arak hanya untuk bukan Islam dan menamat lesen operasi kedai gunting ’unisex’ wanita kepada lelaki. Di samping kebajikan terus dijaga berikutan penubuhan Tabung Serambi Mekah yang mengumpul dana untuk diagihkan kepada pelbagai projek kesejahteraan rakyat. Kesemuanya adalah suatu realiti keamanan yang secara langsung merupakan model pentadbiran untuk keamanan Negeri Kelantan.

Konsep keamanan

Secara etimologis konsep keamanan (security) berasal dari kata Latin securus (se + cura) yang bermakna terbebas dari bahaya dan terbebas dari ketakutan (free from danger and free from fear). Ini bermakna gabungan kata se (bererti tanpa/without) dan curus (yang bererti gelisah/uneasiness). Kemudian apabila digabungkan maksudnya, securas adalah pembebasan dari kegelisahan, atau satu kedamaian tanpa sebarang risiko atau ancaman (liberation from uneasiness, or a peaceful situation without any risks or threats).

Selama ini konsep keamanan diyakini sebagai suatu situasi yang terbebas dari ancaman perang ketenteraan atau kemampuan pertahanan negara dari serangan musuh. Namun, berikutan perkembangan perhubungan antarabangsa yang menyentuh nilai-nilai diplomatik, maka pemahaman konsep keamanan diperluas menjadi tidak hanya meliputi aspek ketenteraan dan aktornya bukan negara semata. Ia sudah mencakupi aspek-aspek selain ketenteraan, tetapi melibatkan sama aktiviti aktor dari dalam masyarakat sendiri. Dalam konteks ini, termasuk dalam nilai-nilai keamanan adalah pelbagai aktiviti dijalankan oleh pertubuhan politik mahupun NGO yang kesannya bukan setakat kalangan ahlinya, malah semua unsur kemasyarakatan yang berkaitan, hatta ke peringkat pihak yang berkuasa (kerajaan).

Oleh itu, menurut Benjamin Miller (2001) seorang pakar keselamatan/keamanan (tulisannya The concept of security: should it be redefined? Journal of Strategic Studies, Vol. 24, Bil. 2 Jun 2001. Halaman 13-42), perluasan konsep keamanan ini adalah mencakupi lima dimensi utama: Dimensi pertama adalah bermulanya ancaman (the origin of threats). Dimensi kedua adalah sifat ancaman (the nature of threats) menyangkut aspek-aspek lain seperti ekonomi, sosial-budaya, lingkungan hidup, bahkan isu-isu kesihatan masyarakat. Dimensi ketiga, yakni respon berubah-ubah (changing response) akibat perubahan aspek kehidupan sebagai sifat-sifat ancaman yang berkorelasi kuat dengan pendekatan keamanan yang bukan hanya bersifat ketenteraan, malah menyangkut sama pendekatan bukan ketenteraan seperti ekonomi, politik, undang-undang dan sosial-budaya. Dimensi keempat, akan mengarahkan kita kepada perlunya perluasan tumpuan situasi semasa nilai keamanan yang tanggungjawab pihak berkuasa (negara/negeri) bagi mencorakkan keamanan (changing responsibility of security). Ini kerana negara/negeri adalah "organisasi politik" terpenting yang berkewajipan mewujudkan keamanan bagi seluruh warganya. Akhirnya, dimensi kelima adalah nilai-nilai teras keamanan (core values of security) yang menumpukan kepada situasi keamanan nasional, kedaulatan, dan integriti wilayah/negeri. Nilai-nilai teras itu seharusnya melihat kepada nilai-nilai baru yang mencetuskan suasana selamat atau aman.

Justeru itu, keamanan sewajarnya ditanggapi bukan sahaja secara memahami konsepnya, malah penting ditanggapi sama ialah aspek isu kemasyarakatan yang terkesan akibat agenda pentadbiran pihak berkuasa yang berlaku secara multidimensi. Dalam perspektif sebuah Kerajaan Negeri berteraskan agama seperti Membangun Bersama Islam di Kelantan, amat wajar nilai-nilai keamanan itu dilihat secara multidimensi dan mengintegrasikan nilai-nilai itu dengan berbagai unsur dan komponen kemasyarakatan, terutama soal agama (dosa-pahala), muamalat, pembangunan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat, hubungan antara kaum dan nilai-nilai warisan tradisi yang menjadi khazanah negeri.

Nilai teras keamanan

Berdasarkan pengalaman Kelantan sebagai sebuah negeri di bawah federalisme yang mengolah pentadbirannya mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan dengan mengikut lunas-lunas Demokrasi Raja Berperlembagan. Maka perlembagaan sebagai teras rujukan dan pentafsirannya serta integriti kepimpinan bermula dengan raja-raja, pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya dan pemimpin yang dilantik oleh kerajaan yang berkuasa. Semuanya adalah nilai-nilai teras yang bakal mencorakkan suhu keamanan negara. Ini diperkukuhkan pula dengan amalan pentadbiran yang sedia menghormati integriti pengasingan kuasa pihak legislatif, eksekutif dan judisiari.

Demikian pula di peringkat negeri, keamanan sedia wujud apabila berlaku penghormatan kepada amalan federalisme, penghormatan atas kuasa-kuasa Pusat dan Negeri yang menyentuh integriti raja, majlis mesyuarat kerajaan negeri dan jabatan serta pegawai-pegawai Pusat dan Negeri. Pengolahan terbaik pentadbiran federalisme adalah roh keamanan yang berkekalan antara Pusat dan Negeri. Dalam soal ini, Negeri Kelantan sudah melalui dua dekad era federalisme yang dikatakan mencabar nilai-nilai teras keamanan kerajaan dan rakyatnya.

Pokoknya bermula dengan sikap pihak Pusat tidak menghormati kuasa rakyat Kelantan yang memberi mandat kepada PAS mentadbir Negeri. Sikap tersebut telah menggerakkan tindakan-tindakan mencabar bidang perlembagaan, kuasa raja (sultan) dan menafikan keputusan Negeri, terutama dalam kes-kes melibatkan hak Negeri menerima pembayaran apa-apa jumlah kewangan yang wajib dibayar oleh Pusat dan pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hudud untuk rakyat Islam. Termasuklah juga hak mendapatkan bayaran tunai (royalti) hasil pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas di pantai Kelantan. Malah pihak Pusat turut mencengkamkan lagi autoriti pentadbiran dengan membuka Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai skuad pentadbiran kedua mengurus segala nodaan hak Negeri yang tidak wajar diiktiraf oleh pihak berkuasa Negeri. Apakah tindakan Pusat sedemikian tidak mencabar nilai-nilai teras keamanan negara dan negeri? Persoalan ini sudah terjawab dengan laluan dua dekad Tuan Guru Nik Dato’ Nik Abdul Aziz selaku ketua eksekutif utama mengenderai kuasa di Negeri Kelantan.

Kelantan kekal aman

Sejarah membuktikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang berlakunya keamanan berterusan. Hatta semasa Negara dilanda rusuhan kaum 13 Mei 1969, tidak pun berlaku sebarang kemalangan yang mencalar nilai-nilai keamanan rakyatnya. Melainkan sekali sahaja, iaitu ketika ‘politik darurat’ tahun 1977 yang membawa kajatuhan Kerajaan PAS Kelantan dalam suatu pilihan raya khas Mac 1978. Apapun politik darurat itu adalah ciptaan Pusat melalui parlimen telah meluluskan Majlis Gerakan Negera (MAGERAN) mengambil alih kuasa pentadbiran Negeri selepas kekalutan politik angkara pihak tertentu. Namun era pentadbiran Membangun Bersama Islam kini, integriti Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah berjaya menguruskan psiko-politik warga Kelantan dengan nilai-nilai keamanan berteraskan iman dan takwa. Meskipun pelbagai cabaran ke atas keamanan Kelantan oleh kuasa Pusat, ia masih belum menggugat nilai keamanan yang ada. Walhasilnya, rakyat Kelantan selamat dan sejahtera bersama keamanan negerinya. Logiknya, Kelantan adalah model keamanan bagi negeri-negeri di Malaysia.

Wan Nik Yusof
Setiausaha Politik YAB MB Kelantan

SEMAKIN RAPAT ORANG BUKAN ISLAM KEPADA ISLAM, UMNO SEMAKIN RESAH DAN GELISAH.

Dicatat oleh MisbahulMunir Sunday, August 29, 2010

UMNO BN sekali lagi menampakkan kejahilan dan kedangkalannya berhubung isu Ahli Parlimen DAP Serdang menyampaikan ucapan di Surau Al Huda Kajang. Sebelum ini Khutbah Jumaat yang mendoakan supaya Lim Guang Eng mendapat hidayah dimainkan oleh UMNO BN. Belum lagi reda isu doa dalam khutbah, UMNO sekali memainkan isu ini dalam media.

Isu ini tidak perlu dipolitikkan oleh UMNO sehingga menimbulkan kemurkaan Tuanku Sultan Selangor. Islam tidak akan tercemar hanya kerana seorang bukan Islam memasuki surau atau masjid untuk tujuan yang baik.

Saya percaya UMNO melaporkan isu ini dengan tidak betul kepada Tuanku sehingga menimbulkan kemurkaan. UMNO menggunakan istilah 'tazkirah' terhadap ucapan oleh Ahli Parlimen tersebut, pada hal beliau hanya menyampaikan ucapan setelah diminta oleh pihak surau, beliau datang ke surau untuk menyampaikan bantuan dan meraikan majlis berbuka puasa.

Islam tidak melarang perbuatan seumpama itu, lainlah kalau orang bukan Islam datang ke surau mahupun ke masjid lalu melakukan upacara keagamaan mereka, melakukan perbuatan mungkar dan yang seumpamanya. Sekadar menyampaikan bantuan, turut menikmati juadah berbuka puasa dan menyampaikan ucapan, tidak nampak sedikit pun ia boleh mencacatkan kesucian Islam dan tidak nampak boleh memecahkan perpaduan .

Jahatnya UMNO memutar belitkan isu ini dengan diolahnya begitu rupa bagi membangkitkan sentimen kaum. Ia dijadikan isu agama dan kaum oleh UMNO.

Pada hal Majlis Fatwa Kebangsaan menfatwakan harus bagi orang bukan Islam memasuki masjid dengan syarat mendapat keizinan dari pihak pengurusan masjid atau surau, menjaga tatatertib, menutup kepala dan beberapa syarat yang lain. Silapnya Ahli Parlimen tersebut tidak menutup kepala. Itu mungkin kerana pihak pengurusan tidak memberitahunya.

Tetapi kalau isu tidak menutup aurat dijadikan alasan, ramai wanita Islam yang berada dalam masjid ketika majlis akad nikah juga tidak menutup aurat yang sempurna, mereka sekadar menutup kepala dengan selendang, sebahagian rambutnya masih tetap kelihatan terhurai. Beberapa isteri pembesar negara dan menteri-menteri wanita UMNO juga tidak menutup aurat dengan sempurna ketika berada di masjid.

Sebenarnya UMNO semakin resah dengan akrabnya hubungan antara bukan Islam dengan Islam melalui PR. Orang bukan Islam dari DAP dan PKR semakin mahu mendekati Islam, mereka mula memahami Islam, menghormati kemulian bulan Ramdahan, turut menyumbangkan more berbuka puasa, memberi sumbangan kepada masjid dan surau, hadir dalam majlis hari-hari kebesaran Islam, ramai yang turut mendengar tazkirah, kuliah dan ceramah agama. Mereka tidak kekok dan rasa terasing bila berada dalam majlis ilmu.

Kesempatan ini yang terbaik untuk kita menerangkan kesyumulan dan keadilan Islam kepada mereka, menerangkan juga konsep ketuhanan dalam Islam dan sebagainya. Mungkin tidak hari ini, esok atau lusa mereka akan terpikat dengan Islam, ini semua bergantung kepada hidayah Allah. Kewajipan kita berdakwah, hidayah itu kerja Allah swt.

10 atau 20 tahun dulu, orang bukan Islam tidak berani menghampiri surau atau masjid, apatah lagi menghadiri majlis-majlis agama orang Islam, hari ini apabila PAS dan pimpinannya menunjukkan sikap keterbukaannya terhadap orang bukan Islam, mereka tidak lagi takut, terasing dan kekok berada di majlis-majlis agama.

Sewaktu pengkebumian isteri Pesuruhjaya PAS Perak, ramai orang bukan Islam berada di sisi masjid untuk menghormati solat jenazah yang diadakan di masjid, mereka turut mengiringi ke kubur dan mendengar talqin yang dibacakan oleh Ust Abu Bakar Husein sendiri. Dalam talqin yang dibaca juga turut mengingatkan yang hidup tentang kematian, keesaan Allah, Islam sebagai ad deen, rasul dan sebagainya. Sekurang-kurangnya seruan dakwah sampai juga kepada mereka melalui talqin.

Pendekatan UMNO yang sering menjadikan isu ini sebagai modal politik murahan hanya semakin menjauhkan orang bukan Islam terhadap Islam itu sendiri, dan semakin menjahilkan rakyat terutamanya ahli-ahli UMNO yang lain.

Yang sebetulnya UMNO makin bimbang kerana dengan cara ini pintu hidayah kepada orang bukan Islam semakin terbuka, peluang untuk menerima Islam sebagai anutan akan lebih terserlah. Dan sekiranya orang bukan Islam ini memilih Islam sebagai anutan dan cara hidupnya, kita yakin Islam mereka jauh lebih baik dari UMNO BN. Dan mereka layak memimpin umat Islam di bumi Malaysia ini. Dan UMNO pula semakin ditinggalkan oleh rakyat, dan akhirnya pupus dalam masyarakat.

PRESIDEN PAS TURUN PERAK DALAM PROGRAM BADR AL KUBRA

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, August 26, 2010



Kedatangan Presiden PAS 28hb Ogos ini di Kg. Seleboh, Parit dalam program Sambutan Badr al Kubra akan menyemarakkan lagi semangat ahli dan penyokong PAS di Ramadhan ini bagi meningkatkan amal baktinya kepada Allah swt di samping menaikkan semangat perjuangan.

Program Badr Al Kubra anjuran PAS Perak akan berlangsung Sabtu ini, program bermula seawal pagi dengan ziarah dakwah di pasar sehari, kuliah Dhuha, Kuliah Zohor, Kuliah Asar, ziarah dakwah di Bazar Ramadhan, Taujihiat oleh Tuan Guru Presiden PAS sebelum berbuka puasa di Darul Mubarak Seleboh. Kemuncak program ceramah Badr Al Kubra di perkarangan Darul Mubarak akan diadakan sejurus selepas Solat Tarawikh.

Program Badr Al Kubra adalah acara tahunan PAS Perak bagi memperingati peristiwa besar dalam Islam iaitu Ghazwatul Badr Al Kubra. Peristiwa ini sangat penting diperingati bagi mengambil pengajaran melalui penanaman roh jihad kepada para petugas Islam. Program ini juga dapat merapatkan hubungan antara pimpinan, ahli dan rakyat.

Ahli PAS di semua peringkat diharap tidak melepaskan peluang ini bagi menghadiri dan mengikuti program-program yang telah diatur sejak awal pagi hinggalah kemuncaknya di sebelah malam.


Asri: Jangan politikkan isu khutbah, tak salah doa pemimpin sejahtera

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, August 24, 2010



Ini jawapan terhadap mereka yang mempertikai doa ke atas orang bukan Islam supaya mendapat hidayah Allah swt. Ulama PAS ada hujjah yang kuat untuk mengatakan harusnya mendoakan orang bukan Islam menerima hidayah Allah swt. Tetapi mereka yang hati dan mindanya tertutup pasti akan menolak hujjah yang dikemukakan oleh orang PAS. Bekas Mufti Perlis Dr Asri Zainul Abidin bukan ulama PAS dan juga bukan ulama UMNO. Beliau ada memberi pandangan bebas dalam isu ini.

Berikut pandangan beliau yang dipetik dari malaysianinsider.com

Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) tidak mempolitikkan isu membaca doa membabitkan kesejahteraan Ketua Menteri Pulau Pinang semasa khutbah sehingga boleh mencetuskan suasana tidak senang di kalangan rakyat.

Sambil menegaskan beliau tidak pasti bentuk doa yang telah dibacakan sebagaimana didakwa oleh Umno Pulau Pinang, bekas mufti Perlis kelahiran Pulau Pinang itu menganggap membacakan kesejahteraan Lim selaku Ketua Menteri atau seabgai ketua kerajaan negeri adalah perkara kecil.

“Jangan mempolitikkan isu ini, saya katakan perkara ini kepada Pakatan dan juga BN, jangan mempolitikkan,” kata beliau.

Asri menambah, parti-parti politik perlu ada semangat “negarawan” tanpa melihat sesuatu isu itu dalam skop yang terbatas atau kerangka politik semata-mata atau kepentingan kelompok tertentu.

“Saya tidak memihak kepada mana-mana pihak... kita (sebenarnya) ada banyak perkara besar untuk dilakukan bagi rakyat negara ini... isu ini (membaca doa kesejahteraan) bukanlah besar sangat pun,” kata beliau yang pulang ke tanah air dari Mekah kelmarin.

“Saya tidak tahu apakah doa yang dibacakan, kita kena melihat pada kandungan doa,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider semalam sambil menjelaskan, doa jatuh dalam empat kategori.

Doa pertama menurut beliau, meminta seseorang pemimpin diberikan petunjuk atau hidayah manakala yang kedua berharap agar seseorang pemimpin itu bersikap adil atau bersimpati dengan nasib rakyat.

“Doa ini boleh dibacakan ke atas pemimpin sama ada mereka itu Islam atau bukan Islam,” katanya.

PR melihat Umno menggunakan isu itu menyerang kepimpinan negeri diterajui Lim sejak Mac 2008. Isu khutbah dilihat siri terbaru serangan ke atas kerajaan negeri pimpinan PR.

“Dua doa yang lain ialah kita mendoakan kesejahteraan seseorang pemimpin itu walaupun dia berlaku tidak adil, seolah-olah kita bersetuju dengan kezaliman dia, dan satu lagi ialah berdoa memuji kepimpinan, seolah-olah doa penghias kepimpinan)... kedua-dua ini tidak boleh dilakukan,” katanya.

Asri juga membangkitkan persoalan mengapa isu doa dijadikan sebagai satu isu besar sekarang sedangkan ada parti-parti politik yang pernah berdoa agar membawa kemenangan seseorang calon bukan Islam yang diletakkan dalam pilihan raya.

Katanya, jika doa kemenangan dibolehkkan ke atas calon bukan Islam, mengapa doa kesejahteraan pemimpin bukan Islam tidak boleh demi menunjukkan hidayah atau petunjuk dan agar berlaku adil kepada rakyat.

“Saya tidak mahu menyebut parti mana yang berbuat demikian, tetapi jangan mempolitikkan isu doa sekarang... pernah ada parti yang membacakan doa agar membawa kemenangan kepada calon mereka yang bukan Islam, mengapa dulu boleh tetapi sekarang tidak boleh, jadi ada doa yang boleh dan ada doa yang tidak boleh... doa untuk kebaikan kita boleh lakukan,” katanya.

Asri juga menasihatkan agar isu khutbah dan doa dilihat dari sudut agama yang akan memberikan penyelesaian adil dan berfakta, bukannya menerusi platform politik yang lebih bersifat emosional.

Ketika ditanya mengenai penggunaan nama Ketua Menteri untuk digantikan dengan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Asri berkata, beliau tidak pasti soal tersebut baru pulang dari luar negara.

“Aspek ini saya belum ada maklumat sebab saya baru pulang dari luar negara,” kata beliau.

Setakat semalam polis sudah pun menerima tiga laporan berhubung dakwaan penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Laporan Utusan Malaysia semalam memetik Imam Masjid Jamek Padang Menora, Ibrahim Ishak yang mengakui khatib ada menyebut nama Ketua Menteri dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, ia bermaksud semoga Allah membukakan hati Guan Eng untuk menerima Islam.

Khamis lepas, Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penggunaan nama Ketua Menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama Ketua Menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Pulau Pinang menafikan perkara tersebut berdasarkan siasatan awal.

“Biar siasatan dijalankan untuk menentukan khatib atau imam masjid mana yang terlibat dan kalau benar tindakan tegas akan diambil,” kata Timbalan Ketua Menteri I Dr Mansor Othman dan Exco Kerajaan Negeri Abdul Malik Kassim dalam satu kenyataan bersama semalam.

“Hanya khatib atau imam yang tak siuman berani menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dengan nama Lim Guan Eng. Sekiranya dakwaan ini benar, kami tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas,” kata pemimpin itu.

Dalam kenyataan itu juga, Abdul Malik dan Mansor menambah, dakwaan yang lebih merupakan fitnah terhadap kerajaan negeri adalah sangat serius kerana boleh mencetuskan kemarahan, kebencian dan ketegangan kaum dan agama dan membawa insiden yang tidak diingini.

“Lim Guan Eng, yang tidak pernah campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran Islam, pun dianiayai,” kata mereka.

Umno Pulau Pinang mempertahankan pendirian mereka dengan menafikan dakwaan bahawa parti itu sengaja mencipta isu kononnya nama Ketua Menteri digunakan dalam khutbah untuk menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong.

Ketika menjelaskan kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman mendakwa perkara itu benar-benar berlaku di beberapa masjid, sejak awal tahun ini.

Beliau menamakan enam masjid yang menurut parti itu telah menggunakan nama sama ada “Ketua Menteri ataupun Lim Guan Eng” dalam khutbah, yang dikesan sejak Februari lalu.


-malaysianinsider.com

ISLAM DAN BUKAN ISLAM TIDAK AKAN RUGI DENGAN ISLAMNYA LIM GUAN ENG

Dicatat oleh MisbahulMunir Sunday, August 22, 2010

Ternyata kenyataan Zahid terhadap isu Khutbah Jumaat di Pulau Pinang hanya memperlihatkan kedangkalan dan kejahilannya. Zahid bukan sahaja berbohong malahan sengaja menimbulkan provokasi jahat bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadap Lim Guan Eng. Itulah cara Zahid berpolitik bagi meraih sokongan Melayu kepada UMNO dengan menanamkan bibit kebencian.

Zahid menggambarkan seolah-olah kerajaan negeri membenarkan atau mengarahkan khutbah Jumaat di masjid-masjid seluruh Pulau Pinang mendoakan kesejahteraan kepada Lim Guan Eng dan membuang doa untuk Yang Dipertua Agung. Inilah kenyataan jahat dan bahaya dari seorang menteri yang bermentaliti rendah. Orang yang bermentaliti rendah sering mengambil kesempatan dar memutarbelitkan isu untuk kepentingan politik murahannya.

EXCO Agama Pulau Pinang telah menjawab dan menafikan tuduhan jahat Zahid.

Saya hubungi beberapa pimpinan PAS Pulau Pinang tentang isu ini. Menurut mereka, memang ada khatib membaca doa untuk Lim Guang Eng tetapi bukan memohon kesejahteraan dan keselamatan, doa yang dipohon adalah agar Allah swt memberi taufiq dan hidayah kepada Lim Guang Eng supaya terbuka hatinya untuk menganut Islam.

Inilah juga doa yang pernah nabi pohonkan kepada penduduk Thaif sewaktu mereka mengusir Rasulullah saw dengan cara yang sangat kasar dan biadab dari negerinya, "Ya Allah, berilah mereka petunjuk, sesunguhnya mereka ini kaum yang tidak mengetahui", Rasulullah saw juga pernah berdoa agar salah satu dari pemuka quraisyh yang terkenal dengan kezaliman terhadap sahabat-sahabatnya mendapat hidayah.

Rasulullah SAW pernah berdoa ; "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab atau Abu Jahal b. Hisyam" Hadtih riwayat At-Thabarani Dalam sebuah hadith lain yang diriwayatkan oleh At-Thabarani bahawa Rasulullah SAW juga pernah berdoa : "Ya Allah kuatkan Islam dengan Umar Al-Khatab"

Kalau itulah doa yang dibaca oleh khatib dan diaminkan oleh para jamaah yang ramai, tidak ada salah dan silapnya. Doa untuk memberi hidayah kepada orang bukan Islam adalah amalan yang baik. Kerana itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw kepada Umar Al Khatab dan Abu Jahal. Dua orang ini terkenal dengan kejahatannya dalam menzalimi umat Islam, dua orang ini cukup berpengaruh. Tiba-tiba Rasulullah saw berdoa agar salah seorang daripadanya menjadi Islam. Doa Rasulullah saw dimakbulkan, Umar Al Khatab yang dipilih oleh Allah swt dan ternyata Islam semakin kuat dengan Islamnya Umar Al Khatab.

Kita sepatutnya mengaminkan doa khatib tersebut agar Lim Guan Eng menerima Islam supaya dengan Islamnya beliau umat Islam di Pulau Pinang akan bertambah kuat dan terpelihara kepentingan dan kebajikannya. Lim Guang telahpun menunjukkan sikapnya yang baik kepada umat Islam, sepanjang Ramadhan beliau turut berbuka puasa besama umat Islam sekalipun beliau tidak berpuasa, turut menyumbangkan more berbuka puasa di masjid-masjid dan surau, memberi peruntukkan yang banyak kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang bagi menjalankan aktiviti Islam, mengiktiraf para penghafaz al Quran dengan memberi sumbangan wang ringgit dan sijil penghargaan, menghadiri semua upacara sambutan hari kebesaran Islam dan sebagainya.

Itulah sikap baik yang beliau tunjukkan kepada Islam sekalipun beliau tidak beragama Islam. Orang macam ini sekalipun berjasa kepada Islam tetapi di sisi Allah orang ini tetap tetap tidak beriman, orang yang tidak beriman sekalipun membuat kebajikan tetapi tidak diterima amalannya oleh Allah swt selagi tidak beriman, sebagaimana Abu Talib (bapa saudara nabi), banyak jasanya kepada Rasulullah saw, tetapi disebabkan tidak beriman, dia tetap kafir di sisi Allah swt. Kebaikan dan sumbangan Lim Guan Eng cukup banyak di Pulau Pinang berbanding Ketua-ketua Menteri sebelumnya. Supaya kebaikannya dibalas oleh Allah swt di akhirat kelak, lebih baik kita doakan Lim Guang Eng agar terbuka hatinya untuk menerima Islam sebagai anutannya. Dengan Islamnya beliau, bertambah lagilah saudara seaqedah kita. Saya percaya keadilan Islam akan lebih terserlah di bumi Pulau Pinang dengan Islamnya Lim Guan Eng.

Umat Islam dan bukan Islam Pulau Pinang tidak akan rugi dengan Islamnya Lim Guan Eng, yang rugi UMNO BN. UMNO BN makin lemah manakala PAS dan PR semakin kuat. Itu yang Zahid sangat takut dan bimbang. Pengaruh PR dibawah kepimpinan Lim Guan Eng semakin menebal di Pulau Pinang, ketakutan Zahid inilah yang akhirnya mendorong Zahid bercakap merapu dan mengarut.

ZAHID BERBOHONG LAGI

Dicatat oleh MisbahulMunir Friday, August 20, 2010

Tidak sudah-sudah Zahid berbohong, dulu dia tuduh YB Dr. Hasan Ali tidak baca selawat dalam khutbah Jumaat di Hulu Selangor. Dia tidak pula pernah membuktikannya sehingga sekarang. Kali ini ia berbohong pula kononnya ada beberapa buah masjid membaca doa dalam khutbah Jumaatdengan menyebut nama Lim Guang Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dan tidak menyebut Yang DiPertuan Agung sebagaimana biasa. Berbohong di bulan Ramadhan pulak tu. Seluruh rakyat pasti tidak akan percaya dengan omongan bohong Zahid ini.

SUMBANGAN UNTUK FAKIR MISKIN BAGAN DATOH DIPERLUKAN

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, August 19, 2010

Saya selaku YDP PAS Kawasan Bagan Datoh merayu tuan/puan memberi sumbangan derma bagi disumbangkan kepada 500 orang fakir miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim Bagan Datoh sempena hari lebaran ini. Semua sumbangan akan diagihkan dalam bentuk hamper dan wang ringgit kepada mereka yang disebutkan tadi seminggu sebelum menjelang aidil fitri.

Tuan/puan yang ingin menyumbang seikhlasnya boleh bankin sumbangan ke akaun Pusat Khidmat Masy Dun Rungkup 0817-0000159-102 di bank CIMB. Segala sumbangan sila maklumkan melalui mesej ke 019-5557628 untuk rekod. Beras fidyah juga boleh diagihkan melalui Pusat Khidmat Masy Dun Rungkup. Hubungi 019-5954575/0193587345 (En. Fauzi Hashim).

Segala sumbangan yang diberikan didahului dengan ucapan terima kasih.

Misbahul Munir Hj Masduki
YDP Kawasan Bagan Datoh.

JENAZAH ALLAHYARHAMAH ISTERI PJ PERAK SELAMAT DIKEBUMIKAN

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, August 18, 2010


Malam tadi juga selepas Solat Isya' di Masjid Raja Nazrin Kg. Rapat Jaya Tambahan lebih kurang 1000 umat Islam memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarhamah Siti Rafeah bt. Hj Ramli 56 tahun isteri Ust. Abu Bakar Husein, PJ Perak. Solat Jenazah diadakan sejurus selepas sahaja selesai Solat Isya' dengan dimami sendiri oleh Ustaz Abu Bakar Husein.

Jenazah Siti Rafeah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg. Rapat Jaya Tambahan dengan Ustaz Abu Bakar Husein sebagai suaminya sendiri membacakan talqin dan memimpin bacaan tahlil. Orang ramai sebak dan kagum dengan ketabahan serta kesabaran Ust Abu Bakar Husein walaupun kesedihan tetapi masih mampu mentalqinkan isterinya dengan lancar dan jelas dan ada ketikanya sebak.

Pimpinan PAS negeri Perak, Ulama, Pemuda & Muslimat kelihatan ramai yang hadir memberi penghormatan dan takziah. Tidak ketinggalan juga pimpinan PKR dan DAP Negeri dan seluruh Adun-adun serta Ahli-ahli Parlimen PR ramai memberi penghormatan dengan berada di beranda masjid di ketika umat Islam mengerjakan solat Jenazah. Antara yang kelihatan YB Lee Boon Chye Ahli Parlimen Gopeng, YB Chan Lee Kang, Adun Simpang Pulai, YB Sum, Adun Bercham dan yang lain-lain. Turut kelihatan di perkuburan memberi penghormatan ialah pimpinan dan ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS Perak.
Sebelum itu, seluruh lapisan masyarakat di sekitar Ipoh khususnya dan Perak sejak awal petang lagi berduyun-duyun menziarahi Allahyarhamah di Kediaman Ust Abu Bakar Husein yang tidak jauh dari Masjid Raja Nazrin. YB Dato' Ngeh, YB Nga, YB Sivakumar dan beberapa yang lain antara yang kelihatan di kediaman Ustaz Abu Bakar Husein.

Urusan pengkebumian jenazah selesai kira-kira jam 10.30 malam. Namun orang ramai yang tidak sempat menunaikan solat Jenazah dan menyaksikan pengkebumian tetap terus berkunjung ke rumah Ustaz Abu Bakar Husein untuk mengucapkan takziah.

ISTERI PESURUHJAYA PAS PERAK KEMBALI KE RAHMATULLAH

Dicatat oleh MisbahulMunir Tuesday, August 17, 2010

Ustazah Rafeah bt. Hj Ramli, isteri kepada Pesuruhjaya PAS Perak telah kembali ke Rahmatullah jam 2.20 petang di Hospital Besar Ipoh. Beliau telah menderita sakit sejak beberapa tahun yang lalu, penderitaan semakin kritikal dua tiga bulan yang lalu dan sering keluar masuk ke hospital termasuk pernah mendapat rawatan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Sepanjang hidupnya beliau seorang yang tabah dan sabar dalam mengharungi perjuangan bersama suami tercintanya Ustaz Abu Bakar Husein. Beliau juga adalah seorang guru agama kerajaan yang cukup gigih mendidik anak-anak muridnya, beliau mendapat cuti sakit setelah diserang barah payu dara. Ketabahan teruji dengan penderitaan diserang barah payu dara sehingga meragut nyawanya. Sepanjang menderita sakit, sedikitpun beliau tidak pernah merungut atau menyesali di atas musibah yang menimpa. Beliau tetap sabar dan masih mampu tersenyum dan bersimbang biasa dengan rakan dan sahabat yang menziarahinya.

Semuga rohnya dicucuri rahmat oleh Allah swt.

Jenazahnya akan disempurnakan malam ini juga. Solat Jenazah akan disempurnakan di Masjid Raja Nazrin Kg. Rapat Jaya Tambahan dan juga dikebumikan di Tanah Perkuburan Rapat Jaya.

PAS TURUN BERBUKA BERSAMA RAKYAT

Dicatat oleh MisbahulMunir



Semalam saya sempat menyertai majlis berbuka puasa di Masjid Rungkup Kecil bersama orang kampung, rombongan Jamaah Tabligh yang sedang berkampung di situ dan beberapa pimpinan Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh. More berbuka puasa semalam dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Bagan Datoh. Al Fadhil Ustaz Khairi Jamaluddin turut menyampaikan tazkirah Ramadhan selepas solat Sunat Tarawikh.

Sempena majlis berbuka puasa semalam, beberapa buah masjid lain yang berhampiran turut diberi sumbangan hamper untuk masjid-masjid menyediakan jamuan ringan selepas tarawikh. Masyarakat setempat menyambut baik usaha PAS Bagan Datoh dalam merapatkan hubungan ukhuwah melalui majlis seumpana itu, mereka dapat berbuka bersama, bertahlil, solat dan seterusnya mendengar tazkirah ringkas mengenai kelebihan Ramadhan.

Selepas berbuka semalam, saya sempat menziarahi mangsa kebakaran Sdr. Amran bin Mat Sudin di Kampung Sungai Burong dan menyampaikan sedikit sumbangan bagi meringankan beban. Kebakaran berlaku dua tiga hari sebelum ini. Ia melibatkan sebuah rumah yang terbakar hangus tanpa dapat diselamatkan harta benda. Tidak ada seorangpun yang terkorban dalam kebakaran tersebut. Kejadiannya disedari oleh tuan rumah dan isteri, tetapi mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana kejadian itu berlaku sekelip mata. Bomba pula berjauhan, yang ada bomba sukarela dari pekan Bagan Datoh yang tidak mempunyai alat yang mencukupi untuk memadamkan api.

MUFTI PERAK MESTI BERTANGGUNGJAWAB

Dicatat oleh MisbahulMunir

Mufti Perak mesti dipertanggungjawabkan di atas kenyataan kononnya ada individu tertentu yang telah membuat cadangan perlembagaan baru negara yang menyisihkan hak & keistimewaan orang Melayu. Kenyataan ini boleh mencetuskan tanggapan negatif dan ketegangan kaum.

Sebagai Mufti, beliau tidak sepatutnya mendedahkan isu ini sebelum ia diteliti dan disiasat siapa individu yang dimaksudkan, apa tujuan dan rasional ia berbuat demikikian. Difahamkan beliau baru sahaja dapat dokumen tersebut, tanpa usul periksa, meneliti, mengkaji dan soal siasat, beliau terus mendedahkan kepada umum dalam satu majlis forum baru-baru ini. Kenyataan ini agak mengemparkan juga.

Kemungkinan ada pihak tertentu yang sengaja cipta isu ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu yang akhirnya akan tercetus isu perkauman. Mufti Perak pula sangat mudah membuat kenyataan-kenyataan seumpana ini. UMNO pula sering mengambil kesempatan dengan menggunakan mufti demi kepentingan politik mereka. Inilah yang mereka mahu, kesempatan ini akan diambil untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu kepada UMNO semata-mata.

Suatu ketika dulu Mufti Perak juga pernah mendedahkan ratusan ribu orang Islam murtad berdasarkan maklumat yang beliau terima, ramai pemimpin UMNO yang mempertikaikan kenyataan ini. Mufti Perak pula tidak mendedahkan siapa individu yang memberi maklumat kepadanya. Sehingga sekarang isu ini senyap begitu sahaja dan Mufti Perak tidak lagi ghairah membuat kenyataan mengenai murtad di Malaysia.

Persoalan mengapa Mufti begitu senang dan mudah membuat kenyataan yang boleh menimbulkan perasaan tidak senang dan prejudis, kalau yang didakwa itu ada kebenarannya dan bersalahan dengan undang-undang, sepatutnya beliau menyerahkan dokumen tersebut kepada pihak polis dan membuat laporan polis supaya disiasat.

EHYA' RAMADAHAN DI BAGAN DATOH

Dicatat oleh MisbahulMunir Monday, August 16, 2010




Program Ehya' Ramdhan telah bermula di DUN Rungkup sejak awal Ramdahan lagi. Semalam Muslimat menganjurkan Majlis Tadarus Al Quran di Markaz DUN Rungkup. Kehadiran amat menggalakan sekali. Saya diberi peluang menyampaikan tazkirah serta merasmikannya. Kesempatan itu juga beberapa kaum ibu yang memerlukan telah diberi sumbangan hamper berupa beras dan barang dapor yang lain.

Sebagaimana tahun-tahun lepas, PAS Kawasan Bagan Datoh turut menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada orang ramai sebagai hidangan berbuka puasa. Sambutannya cukup menggalakkan, beberapa tahun dulu petugas-petugas PAS setiap petang pergi ke bazar-bazar Ramadhan untuk mengagih-agihkan kepada orang ramai, tetapi sekarang orang ramai sendiri pergi ke markaz untuk mendapatkan bubur lambuk, sebelum asar lagi bubur lambuk dah habis.

Program iftar bersama rakyat turut diadakan di beberapa masjid, surau dan markaz di seluruh kampung di Rungkup. Manakala program tetap PAS kawasan diadakan setiap malam Sabtu di markaz PAS Selekoh. Program bermula dengan buka puasa, solat maghrib/Isya dan Tarwaikh serta tazkirah selepas tarawikh.

Selain itu, ratusan fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal bakal menerima hamper aidil fitri hasil usaha daripada PAS Kawasan Bagan Datoh.

Tun Dr Mahathir Ketinggalan Keretapi

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, August 12, 2010


Parti Islam Se-Malaysia PAS menyifatkan Tun Dr Mahathir orang yang ketinggalan kereta api dalam ulasan politik negara pada hari ini. Beliau menuduh bahawa kerjasama PAS dan DAP tidak ikhlas, hanya untuk mendapat sokongan orang Cina. Hebat sungguh Tun Dr Mahthir yang boleh membaca keikhlasan PAS, mungkin makamnya sudah sampai ke maqam mushahadah yang boleh tilik hati perut orang. Apakah salah PAS dan Pakatan Rakyat berpakat untuk menegakkan keadilan yang dilihat oleh semua kaum, dasar BN tidak lagi menjamin keharmonian dan pengagihan kekayaan kepada mereka yang berhak dibela. Umno yang tidak dapat menyembunyikan penindasan sesama bangsa dan agama. Perjuangan “Umno putera” seolah khazanah negara ini milik mereka sahaja.

Tun Dr Mahathir memberi pandangan kononnya PAS tidak ikhlas dalam Pakatan Rakyat, beliau hendak samakan sikap jahat yang ada pada beliau dengan apa yang ada kepada PAS. Janganlah perangai buruk beliau hendak disamakan dengan PAS. Ketika beliau berkuasa dahulu, Tun Dr Mahathir jika bercakap di pentas antarabangsa, memang hebat. Beliau pernah mendapat gelaran “Adi Wira Jagat” oleh puak pengampu dalam Umno. Beliau menjadi hero mengecam dunia barat yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia, sedangkan negara yang beliau pimpin waktu itu demokrasi dimatikan dan beratus mereka yang ditangkap dan disumbat dalam penjara kemunting tanpa bicara di bawah ISA. Zaman beliau permit Harakah digantung penerbitan, ceramah diharamkan, royalti di Terengganu ditarik balik, mufti dipecat, ulamak dikecam, bantuan perkapita Sekolah Agama Rakyat ditarik.

PAS berpandangan Tun Dr Mahathir semakin resah dengan perkembangan politik negara, yang sudah meninggalkan pemikiran politik perkauman yang beliau warisi. Generasi muda yang terdedah dengan maklumat terbuka mahu mewujudkan kerajaan yang telus dan adil. Paling menakutkan sekali ialah jika Pakatan Rakyat berkuasa di peringkat pusat, inilah yang menjadi mimpi ngeri beliau. Maka beliau cuba hendak menimbulkan keraguan kepada pengundi Cina terhadap kejujuran PAS. Dalam masa yang sama menakutkan pengundi Melayu supaya menjauhi PAS, kerana menjadi kuda tunggangan Dap.

PAS berpendapat Dr Mahathir seorang yang cukup kecewa dengan parti yang beliau pernah terajui selama 22 tahun. Beliau cuba hendak mengalihkan isu yang melanda negara pada hari ini samaada dari segi politik, ekonomi, kehakiman dan keruntuhan sosial di kalangan remaja. Kita mendoakan semoga Allah panjangkan umurnya untuk melihat kesan daripada dasar yang beliau laksanakan dan warisi kepada pengganti beliau sehingga rakyat dihimpit dengan berbagai masalah di negara ini.

Sebelumnya Tun Dr Mahathir cuba hendak bela secara membuta tuli Kerajaan BN kerana pelaburan langsung asing (FDI) yang lari daripada negara ini. Beliau mengatakan kebanyakan negara dan syarikat asing tidak mempunyai wang untuk dilaburkan di luar negara, sebaliknya mereka juga ingin melabur di negara sendiri berikutan kadar pengangguran yang tinggi di tempat masing-masing. Walaupun hakikatnya di negara-negara jiran FDI lebih baik daripada Malaysia. Menurut Laporan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Negara-Negara ASEAN, Malaysia hanya mampu meraih pelaburan bernilai USD 1, 381 juta sahaja pada 2009 berbanding USD 7, 318 juta pada 2008. Kejatuhan nilai pelaburan ini adalah yang tertinggi berbanding negara ASEAN lain.Malaysia yang tersenarai dalam kumpulan ASEAN 5 ketinggalan dengan negara Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura.


Beliau membela hanya kerana mahu berterima kasih kepada Najib kerana melantik anak beliau Mukriz menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri iaitu Kementerian yang bertanggungjawab menarik pelaburan asing ke dalam negara. Tun Dr Mahathir juga kena membuktikan supaya Tun Abdullah Ahmad Badwi tidak menempelak beliau, kerana dulu beliau mengecam jikalau Tun Abdullah letak jawatan maka Umno dan negara akan maju. Sekarang Tun Abdullah mampu senyum dan biarkan Tun Mahathir terjun dengan labunya. Yakinlah PAS mampu menggantikan Umno di negara ini insyaAllah.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat


SOLAT HAJAT, YAASIN DAN DOA UNTUK ISTERI PJ PERAK

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, August 11, 2010

Seluruh ahli PAS dan penyokong PAS diseru solat Hajat, baca Yaasin dan munajat agar isteri Ust. Abu Bakar Husein, Pesuruhjaya PAS Perak disembuhkan oleh Allah swt. Isteri PJ Perak Ustazah Hajjah Rafeah bt Ramli menderita sakit sekian lama. Kini beliau terlantar di Hospital Besar Ipoh dalam keadaan tenat dan kritikal. Ahli PAS dan para penyokong yang ingin menziarahinya boleh melawat di wad 2c bilik 1, Hospital Besar Ipoh.

RAMADHAN BULAN TARBIYYAH DAN MADRASAH

Dicatat oleh MisbahulMunir

Ramadhan adalah bulan tarbiyyah dan madrasah ilmu dan amal bagi melahirkan golongan Muttaqen. Sebagai bulan tarbiyyah dan madrasah, ambillah kesempatan terbaik ini untuk menyucikan fitrah, meningkatkan amal, memuhasabah diri seterusnya menghasilkan pekerti mukmin yang berubah akhlak, aqedah dan pemikiran 100 peratus. Mengihya'kan Ramadhan bukan sekadar tarawikh dan tadarus al Quran semata, ia juga termasuk menghidupkan Ramadhan dengan ilmu yang boleh menjana pemikiran tulen berteraskan al Quran dan Sunnah yang kesannya boleh melahirkan pejuang-pejuang yang komited dengan Islam.

Badar al Kubra berlaku di bulan Ramadhan, peristiwa ini sangat wajar diperingati oleh umat Islam. Badar al Kubra mengingatkan sejarah perjuangan yang cukup hebat, di mana jumlah tentera Islam yang kecil mampu mengalahkan tentera kuffar Quraisyh yang 3 kali ganda besarnya. Badr al Kubra mampu merangsang semangat perjuangan umat masa kini bagi berhadapan dengan musuh-musuh Allah swt.

Semua Ramadhan yang menjadi tetamu umat Islam dimanfaatkan kehadirannya. Jangan lepaskan peluang ini sementara Ramadhan masih dalam genggaman kita. Terlepas Ramadhan dengan tanpa dimanfaatkan hanyalah satu yang sia-sia sahaja, tahun depan belum tentu kita boleh bertemu Ramadhan lagi.

Selamat menjalani ibadah Ramadhan.

Konvensyen PAS Perak ke 15 yang berlangsung di Dewan Kutien, Ayer Tawar berakhir dengan semangat baru PAS Perak bagi menawan semula negeri Perak dari UMNO BN. Konvensyen dimulakan dengan perasmian oleh YB Hj Salehuddin Ayon, Naib Presiden PAS. Ucapannya banyak menyentuh dalaman parti yang perlukan kekuatan baru dengan penglibatan semua unsur-unsur yang boleh membantu PAS dalam menerajui kepimpinan politik Perak dan Negara.

Sementara itu, ucap utama Pesuruhjaya PAS Perak disampaikan oleh YB Ir Hj Nizar Jamaluddin, Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak. PJ Perak Ust. Abu Bakar Husein tidak dapat hadir konvensyen kerana keuzuran isteri beliau yang terlantar di Hospital Besar Ipoh. Ucap Utama yang bertemakan "ISLAM ADIL UNTUK SEMUA PERSPEKTIF PERAK" menggariskan beberapa perkara yang menjadi hala tuju PAS Perak. Beberapa aspek pembinaan tarbiyyah dan pelebaran dakwah ditekankan sebagai aspek dalaman yang cukup penting. PAS Perak juga mesti melebarkan jaringan dakwah dengan lebih meluas bagi memahankan rakyat bukan Islam tentang keadilan Islam itu sendiri. Persiapan pilihanraya ke 13 juga menjadi fokus utama PAS Perak bagi memastikan Perak berjaya ditawan semula dalam PRU ke 13.

Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden pula disampaikan oleh Datuk Dr. Mahfuz Mohamd , AJK PAS Pusat yang juga Naib Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Munaqasyah menggariskan beberapa langkah yang perlu dibuat oleh semua peringkat parti bagi merealiasikan Ucapan Dasar Presiden.

Konvensyen bertambah menarik dengan penglibatan perwakilan dalam membahaskan Ucap Utama Pesuruhjaya. Banyak isu disentuh oleh 10 wakil yang mengambil bahagian dalam perbahasan, isu-isu yang disentuh menyeluruh dalam semua aspek perjuangan. Bermula dengan dalaman parti, isu semasa dan persiapan pilihanraya umum ke 13.

Konvensyen juga turut didedahkan oleh pengakaji sains politik dari Ilham Centre hasil dari dapatan kajiannya mengenai kecenderungan rakyat dan pengundi terhadap PAS dan juga PR di Perak selepas PRU ke 12. Dapatan kajian tersebut sangat memberi erti yang besar kepada PAS Perak dalam mengorak dan meneruskan langkah perjuangan ke arah kemenangan besar PRU akan datang.

Kemuncak konvensyen adalah pengisytiharan 7 resolosi yang dijadikan ikrar oleh semua peserta konvensyen bagi memastikan ianya dilaksanakan dilokasi masing-masing.


Oleh : Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapkan antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa masalah akan dirujuk kepada pawang. Selalunya penyelesaian kepada masalah ini ialah dengan mengadu kepada kuasa lain dengan cara yang khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.

Semua ini menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara semulajadinya, manusia perlu kepada tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapakah yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan rohani manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Pengabdian inilah merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut apakah tujuan air, tanah, api, udara dan sebagainya. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, tujuan hidup siapakah yang dapat menjelaskan jika tidak Allah SWT sendiri? Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya berkemahiran tentangnya. Demikianlah manusia, adalah mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah yang ditugaskan untuk memandu manusia bagaimana hidup ini perlu diselaraskan sesuai dengan kehendak Allah SWT.

Jurupandu kepada umat ini ialah para anbiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berdasarkan al-Quran. Bulan Ramadhan inilah yang merupakan bulan penurunan al-Quran. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas berasaskan firman Allah SWT :

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ

Yang bermaksud : Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Surah al-Baqarah, ayat 185

Justeru, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain merupakan keperluan kepada fitrah manusia. Jika sekalipun ugama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas diri mereka untuk berpuasa kerana manfaat yang banyak daripadanya termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, lebih perlu untuk dilaksanakan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan. Tanda taat tunduknya manusia kepada Tuhan mereka ialah mereka sanggup bersusah payah demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita lebih utama untuk bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Hati perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati. Hilangnya keyakinan ini, hilang jugalah roh dari ibadat puasa tersebut sehingga menghilangkan ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Yang bermaksud : “Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam..” – Riwayat Ibnu Majah

Selain itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Kelantan agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT. Semuanya ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita bukan hanya ketika di bulan Ramadhan tetapi sepanjang masa. Semoga bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT.

Semoga Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat

Bertarikh: 10 Ogos 2010 / 29 Syaaban 1431

Tinggalkan UMNO-BN : PRESIDEN PAS

Dicatat oleh MisbahulMunir

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno-BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara. Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri. Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.

Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.


Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri. Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihanraya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Chua Soi Lek Kena Balajar Islam Dengan PAS

Dicatat oleh MisbahulMunir Monday, August 9, 2010

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) merasa simpati dengan kenyataan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek selaku Presiden MCA yang menyalahkan Islam kerana negara tidak maju. Kenyataan yang keluar daripada seorang yang kurang memahami Islam dengan lebih mendalam.

PAS menyeru kepada beliau belajarlah Islam daripada ahlinya dan rujukan asalnya. Dr Chua sudilah belajar Islam daripada ulama' PAS yang terdiri daripada ulama' yang beramal. Jangan belajar Islam daripada bukan ahlinya atau daripada musuh Islam. PAS juga menasihatkan kepada beliau supaya jangan melihat orang Islam yang memimpin negara ini, sebaliknya kena mengkaji Islam daripada sumber asal.

PAS tidak nafikan, Dr Chua tidak faham Islam kerana ia bersahabat dengan pemimpin Umno yang gagal menampilkan ciri Islam yang sebenarnya. Tentu beliau keliru dengan Islam yang dihayati oleh pemimpin Umno. Berlaku kecelaruan dalam fikiran beliau, mana satukah Islam yang sebenar. Kenapa pemimpin yang mendakwa diri mereka Islam tetapi terlibat dengan rasuah dan berbagai skandal yang memalukan orang Islam. Kenapa pemimpin yang mengaku diri sebagai seorang Islam isterinya tidak menutup aurat. Inilah yang disebut oleh hukamak "Islam terlindung oleh orang Islam sendiri"

PAS yakin bukan Dr Chua sahaja yang keliru tentang Islam, kerana orang Islam gagal menampilkan Islam secara praktikal. Alhamdulillah PAS telah berjaya memecahkan tembok fobia terhadap Islam dalam Pakatan Rakyat dan Dewan Himpunan Penyokong PAS.
Ustaz Idris Haji Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

KONVENSYEN PAS PERAK KALI KE 15

Dicatat oleh MisbahulMunir Thursday, August 5, 2010


Badan Perhubungan PAS Negeri Perak (BPPN Pk) akan menganjurkan Konvensyen Kali Ke-15 dan juga Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS pada hari Jumaat dan Sabtu, 6 - 7 Ogos 2010 ini di Dewan Kutien, Ayer Tawar bagi membuat persediaan seluruh Ahli PAS Perak bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke - 13 nanti.

Majlis Perasmian pada 6 Ogos jam 8.00 malam tersebut akan disempurnakan Naib Presiden PAS Haji Salahuddin Haji Ayub yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. Sudah tentu perkara yang akan dipertegaskan oleh Haji Salahuddin adalah berkaitan isu perpaduan Umno- PAS yang menjadian isu kini.

Tema bagi kali ini adalah 'Islam Adil Untuk Semua' menjadi pilihan PAS Perak bagi memastikan gerakerja parti disemua peringkat menumpukan tawaran tersebut bagi mendekati pengundi-pengundi. Manakala Ucaptama Pesuruhjaya PAS Perak Haji Abu Bakar Hussien akan merungkai agenda PAS Perak melalui tema bersama itu.

Banyak perkara yang akan disentuh oleh para peserta pada kali ini terutama kerjasama Pakatan Rakyat (PR) di Perak, kekuatan Jentera Pilihanraya PAS Perak, kemelut Perak yang masih tidak selesai dan sokongan rakyat kepada PAS / PR. Seluruh pimpinan peringkat parti yang terdiri daripada Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat termasuk daripada 24 PAS Kawasan seluruh Perak.

Kehadiran peserta konvensyen kali ini dijangka lebih seribu orang berbanding tahun lepas, ini kerana Ketua-ketua Cawangan PAS seluruh Perak akan turut menyertai sebagai perwakilan PAS Kawasan-kawasan. PAS Perak memberi peluang kepada seluruh Ketua Cawangan Perak mengikuti konvensyen dari awal hingga akhir, mereka akan mendengar sendiri ucapan-ucapan penting dari Naib Presiden PAS sebagai perasmi, ucaptama Pesuruhjaya PAS Perak, pembentangan dua kertas kerja dan perbahasan dari para perwakilan.

Fokus utama perbahasan dalam konvensyen ini lebih kepada bagaimana meningkatkan sokongan pengundi kepada PAS dan pembinaan pengaruh PAS dalam masyarakat. Konvensyen akan berakhir dengan Resolusi yang berupa tindakan kerja yang mesti dibuat oleh jentera PAS di semua peringkat. Resolusi tersebut akan turut diikrarkan di penghujung program konvensyen ini.

Bagi pihak PAS Perak mengharapkan semua yang terlibat akan menyumbang kebangkitan PAS / PR bagi menghadapi PRU Ke - 13 nanti. Selain pimpinan PR yang akan bersama di dalam majlis perasmian tersebut kelak.

MOHD MISBAHUL MUNIR MASDUKI

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Perak merangkap Pengarah Program.

SOMBONGNYA ZAHID

Dicatat oleh MisbahulMunir

Dalam majlis penyampaian hamper sempena Ramadhan di Rungkup Bagan Datoh baru-baru ini, dilaporkan oleh beberapa penerima yang Zahid ada berkata "...pembangkang kalau muka tak malu, ambil lah ". Itulah lebih kurang bunyinya kata-kata yang keluar dari mulut Zahid. Sinis dan cukup menyakitkan hati mana-mana yang mendengarnya.

Saya sifatkan kenyataan ini sekiranya benar adalah kenyataan yang sombong dan angkuh. Tidak sesuai dikeluarkan oleh orang yang bergelar wakil rakyat, apatah lagi seorang Menteri. Kalaupun Zahid orang UMNO BN, beliau tetap sebagai wakil kepada semua rakyat dan juga menteri semua rakyat tidak kira apa fahaman dan agama.

Saya percaya dana yang digunakan untuk membeli hamper adalah dana rakyat & kerajaan yang semua rakyat berhak menikmatinya bukan sahaja untuk UMNO BN. Inikah pemimpin yang berjiwa rakyat ?, di mana slogan 1 Malaysia yang dilaungkan selama ini ?

Sepanjang PR memerintah di Perak selama 11 bulan, PR juga ada memberi hamper kepada rakyat miskin, kita bagi pada semua yang berhak tanpa mengira fahaman politik dan agama. PAS Bagan Datoh sebelum ini sehingga sekarang setiap tahun memberi bantuan hamper hari raya kepada ratusan rakyat miskin di Bagan Datoh, juga tidak mengira fahaman politik, orang Ciba juga menerima hamper Tahun Baru Cina, begitu juga orang India.

Saya diberitahu nilai hamper yang diberi pula tidaklah banyak mana, hanya sekampit beras (5kg) gula 1kg dan kopi 1 paket. Semuanya bernilai RM 15.00. Pada Zahid sumbangan sebanyak itu sudah dianggap besar dan sangat berjasa kepada rakyat, sehingga penyokong pembangkang yang tidak malu sahaja yang boleh ambil.

Kalaulah penyokong pembangkang yang hadir hari itu mahu malukan Zahid dalam majlis tersebut, mereka boleh terus bangun dan berkata "Kami ni penyokong pembangkang, malu nak ambil' lalu keluar beramai-ramai, atau tindakan yang lebih agresif, sewaktu bersalam ambil beras tu kemudian hempas depan Zahid. Siapa yang dapat malu waktu itu ?, penyokong pembangkang memang pun sudah dimalukan oleh Zahid sebelum itu. Jadi yang hanya akan dapat malu ialah Zahid.

Tapi penyokong pembangkang yang hadir hari itu masih waras dan rasional, hanya Zahid yang membuat kenyataan yang tidak waras dan rasional. Rakyat Bagan Datoh wajar malu punya seorang wakil rakyat dan menteri yang sombong, mentalitinya serendah orang yang tidak berpelajaran bahkan lebih teruk dari itu. Dia anggap semua harta kerajaan dan kekayaan negara ini milik UMNO. Seolah-olah Allah mengurniakan nikmat di atas muka dunia ini hanya untuk UMNO.

DALAM DEWAN PUN TAK BERANI DEBAT, INI LUAR DEWAN

Dicatat oleh MisbahulMunir Wednesday, August 4, 2010

DUN Perak bersidang sehari sahaja semalam hanya untuk luluskan peruntukan tambahan sebanyak RM 80 juta. Ini menimbulkan kekecohan dalam dewan sehingga YB Hj Nizar dihalau keluar oleh Ganesan. Persoalannya mengapa sidang yang diadakan begitu singkat. Adakah dengan sehari bersidang ia mampu mengutarakan semua permasalahan rakyat di Perak ?

Sedangkan sidang DUN adalah tempat yang terbaik untuk mengutarakan permasalahan rakyat melalui soal jawab dan perdebatan. Inilah yang menjadi punca mengapa berlaku kekecohan semalam. Semua ADUN PR sudah menyatakan untuk hadir dan menggunakan dewan sebagai tempat terbaik bagi menyuarakan masalah rakyat, manakala perbahasan dalam dewan juga merupakan peluang ADUN PR membuat teguran kepada kerajaan BN, mempersoalkan apa sahaja perkara yang dilihat tidak betul dan membetulkannya, menjawab tohmahan dan fitnah ke atas kerajaan PR dulu dan sebagainya. Namun masa yang diberi untuk berbahas begitu singkat, 15 minit yang diperuntukan untuk Hj Nizar sebagai Ketua Pembangkang adalah tidak wajar. Paling kurangpun 1 jam. PR pula mencadangkan sidang diadakan dua tiga hari. Itu yang dituntut oleh Hj Nizar sewaktu bangun membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan yang dibentangkan oleh Zambry. Kalau Hj Nizar diberi peluang berucap 1 jam, sekalipun BN tidak bersetuju dengan isi ucapannya, saya percaya sidang akan berjalan dengan lancar semalam.

Dalam sidang dewan semalam, Zambry menyatakan kesediaan untuk berdebat isu Perak, kenyataan diulang-ulang dalam dewan. Saya tidak fikir Zambry bersedia berdebat isu Perak di luar dewan yang disaksian oleh rakyat Perak. Berdebat dalam dewan yang tertutup pun tidak berani, inikan pula berdebat di pentas yang terbuka. Kalau memang ia suka berdebat, mengapa sidang dewan semalam cuma sehari, masa untuk berdebat pula terlalu pendek.

Sepatutnya Zambry bagi peluang wakil PR berbahas dengan memberi masa yang panjang, wakil BN boleh jawab selepas itu. Dan peluang untuk wakil BN menjawab adalah lebih baik berbanding dengan wakil PR. Speaker sudah tentu menyebelahi mereka, pegawai kerajaan pula sudah tentu akan memberi jawaban-jawaban terhadap persoalan yang dibangkitkan, media pula pasti melaporkan sebelah BN sahaja. Itupun dia tidak berani, ini nak berdebat di luar dewan.

Saya mengesyorkan kepada mana-mana stesyen tv nasional dan swasta segera menganjurkan debat antara Zambry VS Nizar, rakyat pasti menunggu peluang ini.

Polis Diminta Jaga Keselamatan Negara Bukan Keselamatan Umno

Dicatat oleh MisbahulMunir Monday, August 2, 2010

Parti Islam Se-Malaysia PAS membantah sikap primitif dan tidak bertamaddun polis yang bertindak kasar terhadap ceramah dan himpunan aman yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negara ini. Antaranya tangkapan dan gangguan ceramah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Rengit Batu Pahat pada 31hb Julai 2010. Polis bertindak mengosongkan pentas, merampas pembesar suara dan menghalau penyokong dari tapak ceramah.. Sekurang-kurang-kurangnya 9 ditangkap terdiri dari 7 lelaki dan 2 wanita.. Polis juga didakwa bertindak mengoyakkan backdrop penganjur yang digantung di pentas utama.

Di Himpunan Warga Felda Kebangsaan di Changkat Lada, Pasir Salak, Seramai 30 orang termasuk 10 anggota Unit Amal telah ditahan polis pada 1 Ogos 2010.

Manakala 1hb Ogos 2010 , himpunan di. upacara menyalakan lilin anti ISA di Padang Timur berhampiran bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) seramai 29 orang ditangkap, 21 lelaki dan 8 perempuan.

PAS sungguh kecewa terhadap tindakan yang dilakukan oleh polis, ketika kadar jenayah meningkat, buang anak menjadi-jadi. Manakala pihak polis sanggup memerah otak untuk menyekat rakyat mendapat maklumat yang sebenar. Adalah tidak adil ketika media elektronik kerajaan BN memfitnah Kerajaan Pakatan Rakyat, tetapi Pakatan Rakyat tidak dibenarkan menjelaskan cerita yang sebenar.

PAS mengharapkan polis perlu menjaga keselamatan negara, bukan keselamatan Umno. Bertindaklah secara professional, beri keutamaan kepada apa yang patut dilakukan untuk kepentingan rakyat dan negara bukan untuk kepentingan Umno BN.

PAS yakin tindakan ini sebagai satu usaha, kerana Umno sudah berada penghujung hayat, kerana apa yang dikhabarkan oleh Umno, rakyat tidak percaya. Maka satu jalan sahaja yang ada kepada mereka ialah menggunakan kuasa dengan mengarahkan pihak polis menganggu ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.

PAS yakin tindakan yang dibuat oleh polis bukan rakyat semakin takut, malahan semakin benci dengan Umno/BN, dan yang paling kita bimbang moral dan emej polis akan tercalar di mata rakyat. Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, kesemuanya mereka yang bertindak secara tidak profesional akan dihadapkan ke pengadilan.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

About Me

My photo
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, YDP Kawasan Bagan Datoh, Setiausaha Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Pusat Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia

Ahlan wa Sahlan

Selamat berkunjung ke blog saya ini. Diharapkan blog ini akan menjadi satu saluran untuk menyatakan yang benar dan tepat tentang kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak bagi menjawab segalan tohmahan oleh musuh-musuh yang sentiasa mahu memesongkan kepercayaan rakyat dan bertujuan jahat.

Sebagai Setiausaha Politik kepada MB Perak, saya mengharapkan dapat berkongsi maklumat dan mendapat feedback berguna dari para pengunjung sekalian.Terima kasih




    Ruku'lah Bersama-sama Orang Yang Ruku' - Bukan Merokok!